100 HARI MENJELANG SUKAN SEA 2017: ISN SAHUT CABARAN SEDIAKAN PERKHIDMATAN SAINS SUKAN DAN PERUBATAN BERKUALITI KEPADA KONTINJEN MALAYSIA

Nur ZatilBerita

9 MEI 2017, BUKIT JALIL: Tarikh 10 Mei esok adalah peringatan buat semua warga sukan tempatan bahawa temasya terbesar Asia Tenggara iaitu Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur kini mengira detik 100 hari menjelang pembukaan rasminya.

Sebagai salah satu agensi yang bertanggungjawab memastikan persediaan atlet dalam aspek sains sukan dan perubatan dipenuhi, bahang temasya ini turut dirasai Institut Sukan Negara (ISN) dalam memastikan sasaran Malaysia untuk muncul juara keseluruhan di tempat sendiri dapat direalisasikan.

Tugas ISN bukan sekadar menantikan temasya tersebut itu membuka tirai sebaliknya persediaan saintifik yang diperlukan atlet menjelang temasya tersebut telahpun dilakukan dengan berteraskan kepada perancangan strategik yang dirangkakan.

Ketika ini tenaga-tenaga mahir ISN daripada pelbagai latar belakang dalam bidang sains sukan dan perubatan sukan telah ditempatkan mengikut keperluan dan permintaan persatuan-persatuan sukan dalam meningkatkan prestasi atlet di seluruh negara.

Ia meliputi tenaga mahir dalam pelbagai bidang antaranya suaian fizikal, pemakanan, fisiologi, biomekanik dan psikologi seperti yang ditawarkan ISN sebelum ini.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairy Zawi, antara cabaran utama buat ISN menjelang 100 hari Sukan SEA adalah meningkat kualiti perkhidmatan sains sukan dan perubatan dengan mempercepatkan prosedur tugasan sedia ada dalam kalangan kakitangan memandangkan permintaan bagi khidmat sains sukan dan perubatan amat ditagih.

Sekaligus memberi cabaran buat ISN memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh agar objektif menghasilkan keputusan terbaik dalam kalangan atlet dapat dicapai.

“Meskipun atlet pada Sukan SEA 2017 adalah atlet di bawah Program KITA JUARA, ISN mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan bertaraf Program PODIUM khususnya kepada atlet-atlet yang menjadi taruhan pingat emas Malaysia. Kami berusaha keras memastikan setiap atlet mendapat kemudahan terbaik pada Kuala Lumpur 2017 dalam masa yang sama menjadikan platform ini untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan ISN untuk berdepan kejohanan-kejohanan antarabangsa di masa hadapan,” kata Dr. Khairi.

“Buat pertama kali ISN akan menyediakan perkhidmatan lebih holistik kepada atlet negara di mana sebuah pusat keperluan berkaitan sains dan perubatan sukan yang dinamakan ‘TEAMMAS PERFORMANCE CENTER (TPC) akan dibuka di setiap tempat penginapan atlet negara sepanjang temasya tersebut.

Idea ini merupakan model yang diserap menerusi pendekatan kontinjen Jepun sepanjang Sukan Olimpik di Rio De Janeiro Brazil tahun lalu di mana ia terbukti memberi banyak manfaat kepada atlet sepanjang kejohanan.

“TPC bukan sahaja bertindak sebagai pusat pemulihan atlet selepas bertanding, ia juga bertindak sebagai pusat menyediakan semua keperluan atlet dari aspek sains sukan dan perubatan seperti nasihat pemakanan, khidmat psikologi dan analisis prestasi atlet,” tambahnya lagi.

Paling penting prestasi perkhidmatan ISN sepanjang Kuala Lumpur 2017 akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa dalam meningkatkan perkhidmatan sedia ada. Kuala Lumpur 2017 bakal menjadi batu pengukur kepada penanda aras yang lebih tinggi dalam penyediaan perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang lebih berkualiti tinggi oleh ISN pada masa akan datang.