39 ATLET BAHARU TERSENARAI DALAM PROGRAM PODIUM 2018

Nur ZatilBerita

BUKIT JALIL, 10 NOVEMBER 2017: Jumlah atlet dibawah Program PODIUM bagi tahun 2018 meningkat daripada 120 atlet kepada 146 atlet dengan pertambahan 39 atlet baharu yang dikenalpasti tampil dengan prestasi cemerlang pada tahun ini.

Pengumuman dibuat Pengarah PODIUM, Tim Newenham dalam sidang media di Institut Sukan Negara(ISN) hari ini yang turut dihadiri Pengerusi ISN, Dato Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr. Mohd Khairi Zawi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara(MSN) Dato Ahmad Shapawi Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN En. Ahmad Zawawi Zakaria.

Paling menjadi tumpuan pemilihan skuad hoki kebangsaan dimana kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2017 mendapat pengiktirafan apabila skuad kendalian Stephen Van Huizen layak secara merit ke Piala Dunia 2018, mempertahankan dominasi di Sukan SEA Kuala Lumpur dan terbaharu muncul selaku naib juara Piala Asia buat kali pertama.

Menurut Pengerusi ISN, Dato’ Seri Abdul Azim Zabidi, keputusan dibuat panel pemilihan yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Brig Jen Khairy Jamaluddin pada mesyuarat bersama pihak pengurusan serta jawatankuasa prestasi tinggi pada Khamis lalu.

“Dari dulu saya katakan bukannya tiada peluang buat skuad hoki untuk dipilih ke Program PODIUM tetapi buktikan dulu kemampuan dan jelas mereka telah buktikan kemampuan dengan pencapaian bagi tahun 2017. Mereka telah muncul kedua terbaik di Asia dan itu adalah kriteria yang ditekankan dalam PODIUM,”

“Kita ada sasaran spesifik untuk skuad hoki dimana kita harapkan mereka akan menyerlah dan menghadiahkan pingat di kedua-dua Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan. Sudah tentunya bila sudah menjadi nombor dua di Asia, mereka perlu terus meningkatkan prestasi dan membawa pulang pingat emas di Sukan Asia 2018 di Indonesia, ” kata Dato’ Seri Abdul Azim.

Dalam pemilihan Program PODIUM 2018, kriteria baharu turut diberi penekanan iaitu larangan merokok bagi mana-mana atlet yang dipilih.

“Jangan terkejut jika saya katakan antara kriteria baharu bagi Atlet PODIUM 2018 adalah tidak merokok. Jadi jika salah seorang atlet didapati tidak mengikut arahan ini, atlet tersebut akan disingkirkan termasuklah jika melibatkan satu pasukan. Satu ujian pengesanan merokok akan dilakukan bagi memastikan mereka mematuhi kriteria ini,” tambah Dato Abdul Abdul Azim lagi.

Turut menjadi tumpuan dalam pemilihan Program PODIUM 2018 adalah dua jaguh sukan olahraga yang juga pemegang rekod Asia Tenggara dalam acara masing-masing iaitu Muhammad Irfan Shamsudin dalam acara lempar cakera dan Muhammad Hakimi Ismail dari acara lompat kijang.

Manakala satu lagi sukan baharu yang disenaraikan menerusi sukan menembak iaitu Jonathan Wong.

Dalam pada itu, 13 atlet digugurkan dari program terdahulu antaranya atlet terjun Wendy Ng, Siti Humairah Zabidin dari pencak silat, Shree Sharmini Segaran dari sukan karate dan Zulmazran Zulkifli dari sukan tenpin boling.

Manakala pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow Mohd Hafifi Mansor digantung sementara susulan positif doping bagi sampel A di Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel Gold Coast dan akan hanya diketahui sehingga keputusan sampel B dikeluarkan.

Bagi sukan Para empat atlet baharu dipilih manakala 7 atlet digugurkan antaranya atlet para memanah Hasihin Sanawi, Jamery Siga dan Julius Juranding dari sukan para renang, Sona Anak Agon dari Sukan powerlifting dan dan tiga atlet para olahraga iaitu Faizal Aideal Suhaimi, Amir Firdaus Jamaludin dan Mohd Raduan Emaeri.