AIRASIA TAMPIL SEBAGAI RAKAN PENERBANGAN RASMI KL2017

Nur ZatilAtlet & Jurulatih, Berita

MAIN 1

10 April 2017, Sepang: Hanya 130 hari menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia tampil sebagai penaja Syarikat Penerbangan Rasmi untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 sekaligus menjadi salah satu syarikat penaja kategori emas pada temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Majlis menandatangani penajaan kategori emas Kuala Lumpur 2017 disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin di RedQ, KLIA 2, Sepang siang tadi.

Sebagai Penaja Emas AirAsia menaja jumlah antara RM3 juta sehingga RM7.5 juta yang terdiri daripada bentuk wang tunai dan barangan atau perkhidmatan seperti tiket penerbangan untuk pegawai teknikal sukan serta mereka yang terlibat dalam pelbagai aktiviti KL2017 seperti Larian Obor KL2017 dan Larian Baton Bangkit Bersama.

“Saya berterima kasih diatas sokongan tidak berbelah bahagi AirAsia yang sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti sukan tempatan. Saya harap kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya kepada AirAsia dalam mempromosikan jenama mereka sepanjang Kuala Lumpur 2017 nanti,” kata Khairy.

Dengan tajaan ini menjadikan jumlah tajaan Kuala Lumpur 2017 setakat ini sudah mencapai 88 peratus iaitu RM70.5 juta daripada jumlah sasaran keseluruhan RM80 juta.

Setakat ini jumlah wang tunai yang diraih sebanyak RM21 juta daripada sasaran RM30 juta manakala tajaan berbentuk barangan sudah mencapai 99 peratus iaitu bernilai RM50 juta.

Hadir sama dalam majlis siang tadi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Datuk Kamaruddin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Cik Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Kuala Lumpur 2017, Dato’ Seri Zolkples Embong.