ARUL PUAS HATI KOMITMEN BARISAN REMAJA

KETUA jurulatih skuad hoki remaja negara, Arul Selvaraj (gambar) mengakui berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan anak-anak buahnya pada sesi latihan.

Skuad Projek 2016 itu yang telah melepasi pemilihan fasa 2 sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan menyertai kejohanan pertama tahun ini iaitu Piala Hoki Sultan Johor pada Oktober depan.

Selain itu, Arul turut mengadakan lima perlawanan persahabatan dengan Kelab Hoki Maybank (Maybank HC) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bagi menguji barisan pemainnya.

Biarpun telah mengalami tiga kekalahan menentang Maybank HC, namun Arul tidak gusar dengan keputusan itu, sebaliknya berpuas hati melihat komitmen diberikan setiap pelatihnya ketika ini.

“Kami tewas tiga kali (1-2, 2-3 dan 3-4) kepada Maybank HC dan ada dua lagi aksi selepas ini (hari ini dan Rabu). Saya tak fokus banyak sangat kepada jaringan tetapi kepada perlawanan.

“Ini kali pertama pasukan ini dapat bermain bersama-sama dan saya sangat berpuas hati melihat kesungguhan dan komitmen diberikan mereka terutamanya pada sesi latihan.

“Meskipun menjalani latihan pada bulan puasa, namun mereka masih bersemangat tinggi dan datang awal ke sesi latihan. Sikap seperti ini yang menggembirakan saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bekas penolong jurulatih skuad hoki senior negara itu turut memuji beberapa pemain Skuad Projek 2016 seperti Mohd. Ashran Hamsani, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Norshafiq Sumantri dan Muhd Sufi Ismat Rohulamin.

“Ramai pemain yang menarik perhatian saya seperti Ashran, Lukman, Norshafiq dan Sufi yang mana saya lihat prestasi mereka kekal konsisten.

“Pemain seperti Maxhans (Christi) pula sangat menarik kerana pemain yang berasal dari Sabah ini mempunyai semangat dan ketahanan fizikal tinggi dan tidak banyak buat hal.

“Cuma kekurangan dia ialah dari segi kefahaman permainan tetapi saya percaya jika dia kekalkan seperti sekarang ini, dia mampu menjadi pemain unggul pertama dari Sabah mewakili Malaysia,” jelasnya.

Sumber : Kosmo