Azizul tak patah semangat

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang (gambar) melihat insiden yang menimpanya dalam dua temasya sukan pada tahun ini sebagai ujian dan mungkin ada hikmah untuk dirinya pada masa depan.
Fokus dan semangat pelumba kelahiran Terengganu itu tidak sedikitpun terganggu selepas gagal menggegar pada Sukan Komanwel dan Asia seperti yang diharapkan.
Azizulhasni sekadar meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel menerusi acara keirin manakala peluangnya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat perak dalam acara itu di Sukan Asia lebur selepas dibatalkan secara kontroversi oleh pegawai perlumbaan.
“Insiden itu tidak melemahkan semangat saya, malah ia membangkitkan lagi semangat untuk terus berjuang. Namun pada masa sama berharap ia tidak berlaku lagi terutamanya di pentas paling penting, Olimpik Rio.
“Saya melihat perkara ini sebagai ujian dan mungkin ada hikmah pada masa depan. Saya melihatnya secara positif,” katanya yang bakal meneruskan latihan di Melbourne minggu depan.
Mengulas mengenai prestasinya pada dua temasya itu, Azizulhasni berkata, sememangnya terdapat peningkatan yang positif namun mutu pengadilan mengundang kekecewaan.
“Saya dan jurulatih (John Beasley) memang gembira catatan masa dan data yang saya lakukan pada dua temasya itu. Situasi ini memberikan kami petanda yang positif untuk menghadapi Olimpik 2016 nanti,” katanya.
Mengenai kedudukan sukan itu dalam program Road to Rio, Azizulhasni menjelaskan mereka masih relevan untuk dikekalkan dan prestasi di Sukan Asia tidak boleh dikategorikan sebagai gagal kerana Fatehah Mustapa (perak) dan Josiah Ng (gangsa) masih meraih pingat.
“Sasaran utama kami Olimpik 2016 dan tidak boleh mengatakan skuad trek gagal hingga berlangsungnya temasya itu,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro