Bengkel CRM

BAGI memastikan Institut Sukan Negara (ISN) bebas dari unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, Unit Integriti ISN telah bekerjasama dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, telah mengadakan Bengkel Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) Peringkat ISN. Hal ini bagi memastikan ISN terus telus dan berintegriti dalam memberi perkhidmatan kepada sukan negara.

Pelaksanaan bengkel ini diketuai oleh Pn. Hamidah Binti Aziz, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj), dan dibantu oleh dua (2) fasilitator iaitu Pn. Norhaslinda Binti Hassan, Penguasa Kanan (PsK) dan Pn. Aslina Binti Mohd Ali, Penguasa Kanan (PsK). Bengkel ini diadakan selama tiga (3) hari di Bilik VIP, Podium A, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari 29 – 31 Oktober 2019.

Di antara objektif bengkel ini ialah untuk memastikan profil risiko rasuah dibangunkan dan diuruskan dengan cara pendekatan yang tersusun mengikut empat (4) yang telah disediakan iaitu Mengenal Pasti, Pengukuran, Penilaian Kawalan dan Pemantauan (Monitoring). Bengkel ini juga diharap dapat mengukuhkan rangka kerja organisasi di mana pengurusan risiko melalui top-down approach. Bengkel ini juga dapat membantu menjelaskan akauntabiliti dan tanggungjawab pencegahan rasuah dalam membantu pencapaian strategi organisasi dan meminima impak dan kebarangkalian melalui kawalan dalaman yang efektif.

Bengkel yang berlangsung selama lapan (8) jam setiap hari itu dihadiri seramai dua puluh enam (26) orang pegawai ISN yang mewakili Bahagian masing-masing termasuk Pengarah Bahagian. Apabila bengkel berakhir, wakil-wakil setiap Bahagian telah menyediakan satu pelan CRM yang efektif dan komprehensif untuk ISN dan ianya akan dipantau oleh oleh Unit Integriti ISN serta Bahagian Perundingan dan Pemeriksaan SPRM.

Secara keseluruhannya, bengkel yang dijalankan mendapat respon dan kerjasama yang positif dari semua peserta. Tambahan lagi, penceramah dan fasilitator mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi sekaligus dapat memberi gambaran yang jelas apa itu risiko rasuah dan membantu peserta menyediakan pelan CRM yang efektif dan komprehensif

Terima kasih diucapkan kepada semua peserta dan pegawai yang telah terlibat bagi menjayakan bengkel ini.

Sekian.