DIALOG TN50 BERSAMA WARGA SUKAN: APLIKASI MENYELURUH SAINS DAN TEKNOLOGI SUKAN DIRAMAL MENJADI PELENGKAP KECEMERLANGAN SUKAN MALAYSIA PADA MASA HADAPAN

Nur ZatilBerita

MAIN 1

14 JUN 2017, BUKIT JALIL: Pendedahan sains dan teknologi sukan menjadi aspirasi utama yang diluahkan warga sukan negara dalam merealisasikan agenda nasional, Transformasi Nasional 2050(TN50).

Dalam sesi dialog yang dikendalikan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin di Majlis Sukan Negara(MSN) bersama hampir 1000 warga sukan negara semalam, rata-rata menekankan kepentingan Institut Sukan Negara(ISN) dalam memacu kemajuan dalam bidang sains, teknologi dan perubatan sukan agar lebih banyak kecemerlangan sukan dapat dilakar di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak boleh melihat perkhidmatan sains, teknologi dan perubatan sukan sebagai kumpulan sokongan semata-mata malah perlu dikenali sebagai pelengkap sukan. Bagi negara-negara maju yang telah lama mencatat kejayaan di pentas antarabangsa, perkhidmatan sains sukan menjadi tunjang utama dalam menghasilkan juara dunia,” kata Khairy.

Turut dalam nada yang sama, legenda olahraga negara yang juga pemegang rekod 200meter Tan Sri Dr. M Jegathesen.

“Kita bukan berada dalam zaman dahulu dimana kejayaan bergantung kepada nasib. Saya bernasib baik kerana mendapat dorongan bapa saya yang merupakan seorang atlet olaharaga. Nasib bukan lagi penentu dalam bidang sukan hari ini dimana sokongan ibu bapa dan masyarakat sekeliling menjadi tunjang utama kejayaan atlet dunia. Hari ini sekurang-kurangnya 8 individu berada di belakang seseorang juara dunia. Selain jurulatih, pakar-pakar sains sukan dalam bidang pemakanan, biomekanik, penganalisis perlawanan, ahli psikologi sukan dan fisiologi sukan menjadi tulang belakang kepada atlet-atlet bertaraf dunia,” kata Tan Sri Dr. M. Jegathesen.

Selain itu tokoh bola sepak negara yang juga bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia(AFC), Datuk Peter Velappan berpendapat pada tahun 2050 Malaysia perlu lebih selektif membangunkan sukan yang mampu melahirkan juara dunia,

“Kita telah mewujudkan tapak yang kukuh bagi pelbagai sukan di negara ini. Kini tiba masanya kajian menerusi Institut Sukan Negara(ISN) diperkasakan untuk meneliti sukan yang mampu menghasilkan juara dunia. Sesuatu yang mustahil untuk cemerlang dalam semua jenis sukan. Dengan itu harapan saya pada tahun 2050, Malaysia sudah dapat mengenalpasti sukan yang mana mampu bertapak kukuh menghasilkan juara dunia, kata Datuk Peter Vellapan.

Dalam sesi dialog berdurasi 2 jam semalam, seramai 68 individu dari pelbagai latar belakang melontarkan aspirasi TN50 dalam bidang sukan antaranya atlet-atlet negara, pelajar sekolah sukan, jurulatih, pegawai sukan, syarikat-syarikat berkaitan sukan dan lain-lain.

Antara aspirasi-aspirasi TN50 bagi industri sukan pada masa depan yang dilontarkan berkaitan penglibatan lebih ramai pihak dapat bidang sukan, peranan sekolah dalam membentuk bakat sukan dari peringkat akar umbi, nilai-nilai kemasyarakatan yang diperlukan untuk membantu perkembangan sukan, ekosistem yang lebih mantap bagi membantu warga Orang Kurang Upaya(OKU) dalam bidang sukan juga sokongan pelbagai pihak dalam memantapkan sumber kewangan sukan agar pembiayaan bidang sukan di masa depan tidak terjejas.

Turut sama berkongsi aspirasi TN50 antaranya ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, pelumba negara Jazeman Jaafar, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Brazil, Muhammad Ziyad Zolkefli dan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Malah jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia turut berharap agar satu sistem simpanan kewangan bagi atlet dicetuskan untuk menjamin masa depan atlet negara.

“Aspirasi TN50 saya agar diwujudkan satu tabung khas seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP)khusus untuk atlet yang mewakili negara di peringkat antarabangsa dan pelapis hingga ke elit. Ini untuk memastikan atlet mempunyai masa depan yang terjamin dan selesa justeru menunjukkan ke perihatinan kerajaan Malaysia terhadap atlet-atlet yang pernah berkorban jiwa dan raga demi menaikkan martabat sukan Malaysia,” kata Azizulhasni.