Emas milik siapa?

Incheon: Pertemuan sesama sendiri pemain negara Datuk Nicol David dan Low Wee Wern pada perlawanan akhir skuasy individu wanita hari ini memastikan kontinjen Malaysia memiliki satu pingat emas dan satu perak.
Nicol yang memburu rekod emas kelima Sukan Asia, berada pada prestasi terbaik apabila membelasah pemain India, Dipika Pallikal 11-4, 11-4, 11-5 sekali gus layak ke final kelima berturut-turut Sukan Asia.
Wee Wern pemain nombor dua negara yang juga pilihan kedua temasya, menyingkirkan pemenang perak 2010, Annie Au dari Hong Kong 11-9, 11-5, 11-5 pada separuh akhir di Gelanggang Skuasy Yeorumul, semalam.
“Final ini menjadi impian buat saya dan Malaysia. Saya fikir ini kali pertama dua pemain negara bertemu pada final wanita,” kata Wee Wern, seperti Nicol berasal dari Pulau Pinang.
“Saya sering menganggap Nicol pemain hebat dan dia juga rakan baik saya.
“Perlawanan itu pasti menarik dan saya akan mencuba yang terbaik. Kami bertarung hebat sebelum ini dan esok (hari ini) tiada bezanya.” Wee Wern yang tidak kalah dalam tujuh perlawanan terakhir selepas menjuarai Terbuka China awal bulan ini, bagaimanapun tidak pernah menang dalam 11 pertemuan dengan Nicol termasuk pada separuh akhir Sukan Asia Guangzhou 2010.
“Saya amat gembira layak ke final dan berasa seronok bermain di depan ramai penonton,” ujar Nicol, 31, apabila ditanya mengenai prospek memenangi emas di Incheon ini.
“Saya akan bermain mati-matian pada final nanti,” katanya sebelum mengetahui siapa lawan yang bakal ditemuinya pada perlawanan akhir.
Namun impian Malaysia mempertahankan emas individu lelaki berkecai apabila Ong Beng Hee, juara 2002 dan 2006, tewas kepada pilihan utama, Saurav Gosal 9-11, 4-11, 5-11 di separuh akhir.
Empat tahun lalu di Guangzhou, Azlan Iskandar memenangi emas individu lelaki.
Sumber : Harian Metro