EMPAT MUKA BAHARU MANTAPKAN BARISAN AHLI LEMBAGA INSTITUT SUKAN NEGARA (ISN) PENGGAL KEEMPAT 2017-2019

BUKIT JALIL, 25 JANUARI 2018: Bagi memperkasakan perjalanan Institut Sukan Negara(ISN) dalam memacu kecemerlangan sukan negara, empat muka baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dilantik membarisi Ahli Lembaga ISN bagi penggal keempat 2017-2019.

Empat muka baharu tersebut terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan Datuk Roslan Hassan, Timbalan Pengarah Sektor Penilaian Unit Strategi Nasional Perbendaharaan Malaysia Encik Kaneyasan Perumal, Setiausaha Agung Persatuan Kriket Melayu Malaysia Encik Rosmanizam Abdullah dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia Dato’ Mohd Nazifuddin Dato’ Sri Najib,

Ahli Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2018 di ISN Bukit Jalil yang dipengerusikan Pengerusi Lembaga ISN, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi siang tadi.

Dalam mesyuarat yang sama, empat jawatankuasa ditetapkan dengan Jawatankuasa Program Elit Kebangsaan baharu diwujudkan yang berfungsi sebagai jawatankuasa induk dengan kuasa memantau pelaksanaan Program Persediaan Atlet Elit Kebangsaan (PODIUM) dan Program Khidmat Sains, Perubatan dan Teknologi Sukan yang menggunakan peruntukan kerajaan.

Manakala Jawatankuasa Eksekutif yang mempunyai tambahan ahli baharu berfungsi untuk memantau dan mengawalselia peranan eksekutif, program-program pengkomersialan dan pengkorporatan ISN.

Jawatankuasa Audit dan Integriti digabungkan dengan fungsi utama mengkaji keperluan Unit Audit Dalam dan Unit Integriti termasuk piagam masing-masing.

Jawatankuasa Malaysia Timur pula mengekalkan fungsinya untuk memastikan keperluan ISN Zon Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan peralatan saintifik termasuk dalam menjadikan hub Sains Sukan bagi atlet elit dan program pembangunan yang terancang.

#TeamISN