FAWWAZ BANTU DHARMAA MENGANALISA TAKTIKAL PASUKAN.

Kuantan- Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan turut mendapatkan khidmat seorang Pegawai Analisis Sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) iaitu En. Mohamad Fawwaz bin Jamal di Kejohanan Hockey Champions Challenge 1 2014 ini bagi membantu barisan kejurulatihan menganalisa taktikal pasukan kebangsaan dan pasukan lawan.

Tugas seorang Pegawai Analisis Sukan ataupun lebih dikenali sebagai ” Performance Analyst” adalah menyediakan maklumat kepada atlet dan jurulatih bagi membantu mereka memahami prestasi semasa atlet. Proses ini dijalankan melalui pemerhatian yang sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terperinci berkaitan prestasi atlet. ” Performance Analyst” boleh membantu dalam mempelbagai corak latihan dengan menyediakan maklumat statistik dan video.

Data objektif ini memudahkan maklum balas antara atlet dan jurulatih, dan intervensi seterusnya juga boleh membantu kepada peningkatan prestasi atlet. ” Performance Analyst” bekerjasama dengan jurulatih dan atlet bagi memastikan analisis yang dilakukan berkesan dalam program pembangunan atlet.

Menurut Fawwaz, kerjasama yang dilakukan dengan pasukan hoki kebangsaan selama dua tahun ini memudahkan komunikasi dengan barisan kejurulatihan terutama dalam membincangkan corak permainan lawan selain mengkaji keberkesanan taktikal pasukan kebangsaan dalam setiap perlawanan.

Tambahnya lagi di kejohanan ini, dua perisian diguna bagi memudahkan setiap urusan komunikasi dengan jurulatih iaitu ” SportsCode Elite Version” serta ” iCODA Version 2″ yang membolehkan data dihantar terus kepada jurulatih sewaktu perlawanan.

Petang ini pasukan kebangsaan berdepan tugas getir apabila akan turun menentang pasukan ranking ke-6 dunia dan juga pilihan utama kejohanan iaitu New Zealand di peringkat suku akhir pada jam 2.45 petang bertempat di Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan Pahang.