FESTIVAL TENIS HARI SUKAN NEGARA BERI PELUANG ORANG RAMAI DEKATI SUKAN TENIS

KUALA LUMPUR, 16 OKT 2017: Hari Sukan Negara(HSN) melabuhkan tirainya minggu lalu turut menarik perhatian apabila program Festival Tenis anjuran bersama Kelab Tenis Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Institut Sukan Negara mendapat sambutan hangat hampir 300 penyertaan  dalam penganjuran julung kali itu.

Berlangsung di Kompleks Tenis Jalan Duta, lebih menarik ia turut melibatkan pelbagai kemudahan secara percuma seperti fasiliti gelanggang, latihan kejurulatihan dan ujian saringan bakat melibatkan kanak-kanak autism.

Bagi Pengarah Kelab Tenis UKM, Wan Ahmad Munsif Wan Pa, Festival Tenis ini adalah yang terbesar diadakan di Malaysia apabila menarik penyertaan hampir 300 peserta yang beraksi dalam 32 pasukan.

“Kami ingin rakyat Malaysia menukar persepsi bahawa sukan tenis sukan yang mahal dan kompetitif sahaja. Ini kerana sukan tenis adalah lebih bersifat sosial dan sesuai dilakukan oleh pelbagai usia. Selain itu, sukan tenis juga ingin menggalakan generasi muda untuk menjalankan aktivit riadah secara fizikal berbanding dengan budaya atau terlalu bergantung dengan peralatan eletronik seperti telefon bimbit dan permainan video game,”kata Wan Ahmad Munsif.

Festival selama dua hari itu menggunakan format pengumpulan mata keseluruhan sebelum dinobat juara dimana format ini memerlukan semangat berpasukan yang tinggi dalam setiap set yang berlangsung.

“Ujian saringan bakat untuk kanak-kanak autism menerima rambutan hangat dengan hampir 20 orang menyertai acara ini. Ia juga memberi pendedahan kepada jurulatih-jurulatih kami untuk berdepan kanak-kanak autism yang mempunyai pelbagai reaksi. Malah peluang ini juga adalah amat berharga untuk kanak-kanak autism menyertai acara sukan seperti orang lain,” kata Wan Ahmad Munsif.

Malah ISN turut bekerjasama dengan menyediakan perkhidmatan perubatan sepanjang program ini berlangsung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi, memandangkan fasiliti di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan(KBS) adalah percuma sepanjang HSN, penganjuran program seperti ini amat bersesuaian dalam menggalakkan lebih ramai orang turun padang.

“Menariknya Festival Tenis ini adalah ia melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak autism. Ini adalah ciri inklusif program ini yang tidak mengenepikan mana-mana kekurangan agar semua individu dalam menyertai HSN 2017,” kata Dr. Khairi.

Penganjur turut bercadang untuk meluaskan lagi penganjuran Festival Tenis pada masa akan datang dimana sokongan dari pelbagai pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan, Perbadanan Stadium Malaysia dan beberapa pihak swasta diperlukan untuk menjayakan program ini.