GANGGUAN SEKSUAL DALAM SUKAN: SELAMATKAH KITA?

Oleh: Syarifah Fathynah SS, Pusat Pendidikan Profesional, Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan

International Sports Council (IOC) menyarankan agar semua organisasi sukan menyediakan persekitaran sukan yang selamat (safe sport) iaitu persekitaran yang selesa, saling hormat menghormati, adil dan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi. Ini juga termasuk persekitaran yang selamat dari gangguan dan penderaan di kalangan ahli sukan, pentadbir, penonton atau peminat sukan. Gangguan seksual merupakan perilaku berunsur seksual yang tidak disenangi dan memberi kesan negatif terhadap mangsa. Realitinya, masalah gangguan seksual di dalam sukan sering kali berlaku namun ia jarang dilaporkan dan tidak diambil tindakan. Terdapat beberapa kes gangguan seksual di kalangan atlet terjadi di negara ini yang menjadi perhatian dan sejarah buruk sukan Malaysia. Persoalannya, adakah atlet kita mempunyai persekitaran yang selamat bukan sahaja daripada aspek fasiliti dan kaedah latihan, malah aspek sosial yang menjadi rutin harian mereka?

Satu kajian untuk mengenalpasti kewujudan gangguan seksual dalam sukan di kalangan atlet telah dijalankan oleh sebuah pasukan penyelidik ISN. Berdasarkan kajian tersebut, kadar peratusan gangguan seksual di kalangan atlet Malaysia adalah 16% daripada 422 atlet. Ini menunjukkan bahawa atlet di negara ini tidak terkecuali daripada menghadapi masalah gangguan seksual dan lebih membimbangkan apabila hampir separuh daripada mangsa merupakan atlet berprestasi tinggi. Dapatan ini selari dengan hasil kajian di negara-negara lain yang menyatakan bahawa atlet elit atau berprestasi tinggi lebih terdedah dengan risiko gangguan seksual. Kajian ini juga mendapati gangguan seksual di kalangan atlet Malaysia sering kali berlaku selepas waktu latihan di tempat latihan dan persalinan. Mereka yang dianggap sebagai pelaku gangguan seksual pula adalah dari kalangan rakan sepasukan atau atlet diikuti penonton, jurulatih dan pegawai sukan.

Tambahan, kajian mendapati sesetengah atlet melaporkan prestasi sukan mereka terjejas akibat gangguan seksual. Kewujudan gangguan seksual dalam sukan di kalangan atlet khususnya atlet berprestasi tinggi memberi kesan yang negatif terhadap individu, organisasi dan perkembangan sukan terbabit. Di antara kesan terhadap individu adalah kesan psikologi yang negatif, kesihatan terjejas, menarik diri (drop out) dari penyertaan sukan sehinggalah mencedera atau membunuh diri. Terdapat kes-kes gangguan seksual dalam sukan yang serius seperti membunuh diri pernah berlaku di dalam dan luar negara. Selain itu, reputasi sesebuah organisasi sukan boleh terjejas dan menghilangkan kepercayaan ibu bapa, masyarakat dan penaja. Walaupun kes serius dianggap jarang berlaku di Malaysia, namun jika terjadi, ia akan memberi kesan yang sangat buruk dan besar kepada sukan tanahair.