HAKIMI SEDIA AMBIL RISIKO PROGRAM PODIUM

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod Asia Tenggara dalam acara lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas disenaraikan dalam Program Podium.

Hakimi mengakui bakal menerima tekanan lebih tinggi kerana prestasi menjadi antara perkara utama dinilai menerusi program kendalian Institut Sukan Negara (ISN) itu, namun menegaskan ia bukan halangan buatnya.

“Agak selesa dan gembira apabila disenaraikan dalam Program Podium. Program ini ada banyak kelebihan tapi risiko agak tinggi kerana tumpuan ke arah prestasi, jadi saya kena kekalkan.

“Saya perlu bekerja keras untuk mencapai peringkat lebih tinggi kerana ia akan membantu saya untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

“Semua sedia maklum akan sebarang kemungkinan (disingkirkan apabila tidak menyerlah), jadi memang kena bersungguh-sungguh, tidak ada peluang untuk bermain-main serta kena berhati-hati agar tidak mudah cedera,” kata Hakimi ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Hakimi yang melakukan lompatan 16.77 meter (m) dan meraih emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menzahirkan kesyukuran kerana diberi peluang yang dinantinya sejak tahun lalu.

Atlet berusia 26 tahun itu menjelaskan, dia kini berada dalam fasa rehat berikutan penghujung musim olahraga dan dijadual menyertai kejohanan menjelang Februari tahun depan.

Hakimi turut menjelaskan yang dia berhasrat memenangi pingat serta memperbaharui rekod peribadi sama ada di Sukan Komanwel dekat Gold Coast, Australia atau Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia, tahun depan.

Sebelum ini Program Podium menyenaraikan tiga atlet olahraga berbanding hanya seorang – Nauraj Singh Randhawa ke dalam program berkenaan tahun ini.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham baru-baru ini mengumumkan senarai baharu 146 atlet dengan penambahan Muhammad Hakimi serta atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin bermula Januari depan.

Sebelum ini beberapa nama turut dikemukakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) iaitu raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan serta dua pemegang rekod Asia Tenggara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei masing-masing dalam acara baling tukul besi lelaki dan wanita.

Sumber dari Mohd Khairie Khalid [email protected]
Sumber foto dari Osman Adnan