HARIFF SALLEH DAPATKAN PERKHDIMATAN TEAM ISN

HARRIF SALLEH DAPATKAN PERKHIDMATAN TEAMISN UNTUK PULIH DARIPADA KECEDERAAN KERETAKAN TULANG

9 JULAI 2017, BUKIT JALIL- Menjelang 40 hari ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Mohd Harrif Salleh nama yang tidak asing lagi dalam acara berbasikal lebuhraya bersama pasukan bertaraf benua, Terengganu Cycling Team(TSG) mendapatkan perkhidmatan sains sukan dari Institut Sukan Negara(ISN) dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Singapura pada tahun 2015.

Harrif yang sepatutnya berlepas ke Melbourne, Australia Khamis lalu bagi menjalani latihan fasa akhir Sukan SEA terpaksa menunda hasratnya sekurang-kurangnya 7 hingga 10 hari untuk mendapatkan rawatan di ISN.

Ia susulan kecederaan retak tulang di bahagian belakang pinggang yang dialami pada insiden kemalangan ketika beraksi dalam Jelajah Korea bulan lalu.

Dalam sesi pemulihan hari pertama bersama TeamISN Jumaat lalu, Harrif mendapat perkhidmatan daripada Pegawai Pemulihan Perubatan dari Bahagian Perubatan Sukan, Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi(ISN), Muhd Noorfaizalazrul Muhammad Azalai.

Bagi Harrif kecederaan ini memberi cabaran buatnya namun dia optimis akan pulih dengan segera dengan mengikut perancangan yang dirangka ISN sepanjang 10 hari ini.

“Saya berterima kasih kepada ISN terhadap bantuan untuk memulihkan kecederaan retak tulang saya ini. Saya harap akan segera sembuh agar dapat beraksi dengan baik untuk membantu Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini,” kata Harrif.

Bagi pengurus pasukan TSG Danny Feng, menurut pandangan pihak perubatan ISN kecederaan Harrif tidak berisiko tinggi dimana meskipun cedera beliau tetap mampu menjalani latihan pada tahap terbaik selepas mengalami kecederaan tersebut.

Namun beliau perlu menjalani program pemulihan bersama ISN sebelum ke Melbourne agar tidak memberi kesan pada masa akan datang.

“Kecederaan Harrif bukan penamat kerana beliau masih mempunyai banyak masa lagi bergantung kepada tahap pemulihannya. Bagaimanapun kami telah bersedia dengan perancangan saat akhir jika terdapat perubahan saat akhir kerana kami mempunyai beberapa pelumba pecut yang berpengalaman seperti Anuar Manan dan Mohd Zamri Salleh,” kata Danny.

Enam pelumba TSG yang berada dalam senarai fasa akhir Program Kita Juara bagi acara berbasikal lebuhraya menjalani latihan bersama jurulatih TSG, Jeremy Hunt yang merupakan bekas pelumba pasukan profesional dunia, SKY dari England. #Kitajuara #bangkitbersama#kl2017 #TeamISN #TeamMAS #poweredbyISN