INSTITUT SUKAN NEGARA ANJUR TAKLIMAT KHAS PENGENALAN ISN SEBAGAI PUSAT KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN & PEMBANGUNAN (R&D) TEKNOLOGI SUKAN NEGARA DAN DANA (R&D) KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (MOSTI)

Oleh: Mohamad Faizal Lan & Muhammad Ridwan Jaafar, Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan.

31 JULAI 2017, BUKIT JALIL – Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Institut Sukan Negara (ISN) telah menganjurkan program, Taklimat Khas Pengenalan ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Teknologi Sukan Negara & Dana (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

ISN telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Sukan Negara di Mesyuarat Majlis Sains Negara pada 2 Mei 2017. Selain itu, Majlis Sains Negara bersetuju bahawa ISN sebagai peneraju dan penyelaras R&D teknologi sukan melalui kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan industri; dan memberi keutamaan Dana R&D teknologi sukan kepada ISN menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Pemangku Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Encik Syed Faris Syed Omar telah menggunakan program ini sebagai saluran untuk memperkenalkan ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Teknologi Sukan Negara.

Encik Ellya Masriq Ahmad Sani, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dana di MOSTI selaku penceramah jemputan telah memberi penerangan berkenaan dengan Dana (R&D) MOSTI kepada 60 jemputan yang hadir terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan kejuruteraan dari universiti awam dan swasta.

Dana R&D MOSTI memberi fokus kepada dua (2) perkara, Demand Driven dan Innovation Driven. Demand Driven mempunyai dua (2) skim dana iaitu SMART Challenge Fund dan Go Fund, manakala Innovation Driven mempunyai tiga (3) skim dana iaitu Science Fund, Techno Fund dan Inno Fund.