ISN ANJUR BENGKEL APLIKASI SAINS DAN PERUBATAN SUKAN MANTAPKAN PERSIAPAN KONTINJEN SUKAN PARA ASEAN MALAYSIA

6 April 2017, Kuala Lumpur: Selaku tuan rumah Sukan Para Asean 2017, Institut Sukan Negara(ISN) memastikan setiap atlet dan pegawai kontinjen Paralimpik Malaysia terus mendalami pengetahuan sains dan perubatan sukan menerusi Bengkel Aplikasi Sains dan Perubatan Sukan yang telah diadakan pada 4 hingga 6 April 2017 di Kompleks Sukan Kampung Pandan.

Seminar tiga hari ini disertai 222 atlet dan pegawai dari 13 sukan paralimpik.

Menurut Ketua Program Sukan Paralimpik, Sharil Mohamad beberapa program telah dirancang bagi memastikan setiap atlet dan pegawai kontinjen paralimpik sentiasa peka terhadap perkembangan sains dan perubatan sukan.

Dengan itu, bengkel fasa pertama ini lebih mengenengahkan pengetahuan asas yang perlu diketahui semua atlet dan pegawai.

Bukan setakat ini sahaja, bengkel ini akan diteruskan menerusi fasa kedua yang dijangka berlangsung pada Julai 2017.

Antara pengisian bengkel ini adalah tentang Fisioterapi Sukan seperti “Bagaimana untuk mengendalikan kecederaan sukan” yang disampaikan Puan Zanariah Deris dari Pusat Fisioterapi ISN.

Tidak ketinggalan aspek-aspek sains sukan yang lain seperti psikologi, biomekanik, pemakanan, suaian fizikal dan fisiologi senam.

Malah sesi bersama Agensi Antidoping Malaysia(ADAMAS) turut diadakan untuk memberi maklumat terkini berkaitan doping yang perlu diketahui atlet dan pegawai.

Bagi atlet Program Podium yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dalam acara lompat jauh T20, Abdul Latif Romly Bengkel Aplikasi Sains dan Perubatan ini amat berguna baginya untuk meningkatkan prestasi.

Begitupun Latif turut menyarankan setiap atlet dan pegawai mengambil inisiatif sendiri untuk terus mendalami pengetahuan sains sukan yang disifatkan banyak memberi faedah.

“ Bagi atlet baharu seperti saya, bengkel ini membantu saya untuk mengendalikan situasi kecemasan khususnya jika berlaku kecederaan di masa depan. Misalannya jika berdepan kecederaan otot, beberapa ilmu pemulihan kecederaan yang diterapkan dalam bengkel ini dapat membantu saya mengelakkan dari kecederaan serius berlaku,” kata Latif.

Perkara ini turut diakui seorang lagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. Bagi Ridzuan meskipun sudah lama bergelar atlet, pengetahuan sains sukan dan perubatan yang semakin berkembang membantunya memperbaiki prestasi semasa.

“Selepas lama tidak beraksi di kejohanan antarabangsa, saya akan beraksi di Kejohanan olahraga IPC Grand Prix Terbuka Perancis di Paris pada Mei ini. Sedikit sebanyak pengetahuan sains dan perubatan sukan dalam bengkel ini membantu saya dalam membuat persediaan rapi menjelang kejohanan itu, kata Ridzuan.

Apapun harapan Ketua Jurulatih Olahraga Paralimpik Negara, R. Jeganathan, memandangkan atlet paralimpik mempunyai pelbagai keistimewaan, bengkel ini diharap sentiasa diadakan dari semasa ke semasa dengan menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding atlet normal.

“Seperti yang diketahui atlet paralimpik ini mempunyai pelbagai keistimewaan. Malah dalam sesi latihan kita perlu sentiasa mengulang sesuatu arahan agar mereka memahami sesuatu perkara. Sama seperti pengetahuan sains sukan dan perubatan, atlet paralimpik perlu sentiasa diingatkan agar mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan sains sukan dalam pertandingan,” kata Jeganathan.