ISN DEKATI ORANG RAMAI MENERUSI KARNIVAL PEMAKANAN SIHAT DI AEON SHAH ALAM

Nur ZatilBerita

MAIN 1

20 APRIL 2017, SHAH ALAM: Institut Sukan Negara(ISN) antara yang memberi sokongan kepada Karnival Pemakanan Sihat anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia di Pusat Membeli Belah AEON Shah Alam, Selangor sejak selasa lalu.

Sebagai salah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada sains, perubatan dan teknologi sukan, ISN memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati pendekatan sains, perubatan dan teknologi sukan yang diberikan kepada atlet-atlet negara.

Antara aktiviti yang dijalankan ISN adalah ‘YMCA 3-Minutes Bench Step Test’ bagi mengukur tahap kecergasan kardiovaskular. Malah paling menjadi tumpuan pengunjung adalah menggunakan ‘Watt Bike’ yang digunakan oleh Juara Keirin Dunia 2017, Azizulhasni Awang.

Bagi Pegawai Komunikasi Korporat ISN, Niyewzuan Iszuan Cheng, setakat tiga hari pameran sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“ISN memberi peluang kepada orang ramai melalui ujian ringkas dimana pengunjung dapat menilai tahap kecergasan kardiovaskular masing-masing. Jika tahap kecergasan pengunjung itu kurang memuaskan, pegawai fisiologi senam ISN akan memberi khidmat nasihat senaman yang sesuai dengan peringkat umur pengunjung,” kata Niyewzuan.

Selain mempromosikan kepentingan kecergasan kepada orang awam tidak kira peringkat umur, pameran ini adalah peluang berharga buat ISN untuk berkongsi dengan orang ramai tentang fungsi ISN dalam membangunkan sukan negara.

Turut diadakan hari ini adalah Majlis Pelancaran Logo Pilihan Lebih Sihat yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Selain ISN turut sama memberi sokongan dalam kempen ini adalah Institut Jantung Negara, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Pusat Laktasi Kebangsaan (Bahagian Pemakanan), Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.