ISN PERKUKUH ASPEK DALAMAN DAN LUARAN BERDEPAN TAHUN 2018

Nur ZatilBerita

pict 1

BUKIT JALIL, 6 Dis 2017: Selain penglibatan dalam mempersiapkan atlet negara dalam kejohanan Sukan Komanwel dan Sukan Asia, TeamISN mempunyai tugas dan tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan aspek dalaman dan luar bagi mencapai matlamat untuk menjadikan ISN sebagai Peneraju Kecemerlangan Sains, Perubatan dan Teknologi Sukan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Lembaga ISN, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang hadir dalam Majlis Penghargaan Kontinjen ISN KL2017 di Dewan Komanwel Bukit Jalil semalam.

Menurutnya lagi ia dapat memainkan peranan penting dalam membentuk dan mewujudkan warga kerja yang berkualiti, proaktif, dan bermotivasi tinggi sejajar dengan matlamat strategik ISN.

Dalam majlis semalam seramai 232 pegawai TeamISN yang telah berkhidmat sepanjang temasya KL2017 iaitu dalam Sukan Sea ke 29 dan Sukan Para Asean ke 9 2017 yang telah berlangsung pada bulan Ogos dan September yang lalu diraikan bagi menghargai jasa mereka.

Sepanjang temasya tersebut ISN mewujudkan 8 Jawatankuasa iaitu jawatankuasa Perubatan Sukan & GMC, Jawatankuasa Perkhidmatan Sains Sukan, Jawatankuasa Recovery Centre, Jawatankuasa Perundingan Food & Beverage, Jawatankuasa Sekretariat, Jawatankuasa Logistik, Jawatankuasa Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Jawatankuasa Branding, Media dan Komunikasi.

Hasil dari perkhidmatan terbaik dari aspek sains sukan dan perubatan yang telah diberikan kepada kontinjen atlet Kita Juara berjaya menjadikan Malaysia sebagai Juara Keseluruhan dalam Sukan Sea ke 29 manakala mencapai sasaran naib juara keseluruhan pada Sukan Para ASEAN 2017.