KATRINA-ZYLANE IDAM KE PROGRAM PODIUM

SINGAPURA – Pingat emas yang diraih Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee dalam acara duet renang seirama dalam Sukan SEA 2015 kelmarin diharapkan mereka dapat disenaraikan ke dalam Program Podium. Mahu menumpukan kepada kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Rio, Katrina berkata, memang menjadi keinginan mana-mana atlet negara untuk disenaraikan dalam program berkenaan agar mendapat lebih banyak pendedahan di pentas antarabangsa.

“Salah satu syarat penting jika kami mahu disenaraikan ialah perlu mempunyai kemampuan memenangi pingat Sukan Komanwel atau Sukan Asia serta boleh melayakkan diri ke Sukan Olimpik. “Jika ditanya, kami sudah tentu mahu berada dalam Program Podium, ia pasti memberikan kami banyak kelebihan dan bantuan yang diperlukan dan harap kejayaan memenangi pingat emas di sini akan menjadi batu loncatan agar kami disenaraikan,” kata Katrina.

Program Podium telah distrukturkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada awal tahun ini dengan Institut Sukan Negara (ISN) diberi peranan lebih besar dengan membantu dari segi pemakanan, kemudahan latihan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka secara spesifik untuk setiap atlet atau pasukan. Majlis Sukan Negara (MSN) pula kembali kepada fungsi asasnya iaitu sebagai penyelaras sukan dan penyediaan atlet untuk bertanding dalam kejohanan-kejohanan yang akan dianjurkan oleh KBS. Tujuan Program Podium ialah memastikan Malaysia mampu meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik selain berada dalam kedudukan 10 terbaik di Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang, serta mensasarkan kemenangan 50 peratus pingat daripada keseluruhan acara disertai dalam Sukan SEA.

Dalam masa sama, Katrina berkata, sasaran mereka dalam Sukan SEA dua tahun lagi ialah memenangi seberapa banyak acara dan dia yakin kebanyakan atlet muda negara yang bertanding di Singapura pasti lebih matang selepas ini. “Diharapkan pada tahun 2017, kami mampu meraih seberapa banyak pingat emas memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah dan apa yang saya boleh perkatakan, saya dan Zylane masih berharap untuk mengambil bahagian. “Pasukan kali ini ramai yang masih muda dengan rata rata berumur 15 tahun tetapi saya dan Zylane cukup yakin dalam tempoh dua tahun lagi, mereka pasti sudah berpengalaman dan lebih bersedia,” katanya