KEJAYAAN ABDUL LATIF ROMLY DINOBAT ATLET PARALIMPIK PERTAMA MEMENANGI OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN CETUS MOTIVASI ATLET NEGARA

Nur ZatilBerita

main 1

27 APRIL 2017, KUALA LUMPUR: Buat julung kali dalam sejarah Anugerah Sukan Negara, atlet paralimpik dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan menerusi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly.

Abdul Latif yang merupakan atlet dibawah Program PODIUM mengenepikan lima calon lain iaitu juara keirin dunia, Azizulhasni Awang, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, juara dunia silat di Bali tahun lalu, Mohd. Al-Jufferi Jamari dan raja boling negara, Muhammad Rafiq Ismail dan juara bina badan dunia, Syahrul Azman Mahen Abdullah.

Lebih membanggakan, kejayaan atlet berusia 20 tahun ini rentetan kecemerlangannya membawa pingat emas Sukan Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh kategori T20 diiringi dengan tiga rekod dunia yang diperbaharui bermula dengan catatan 7.47 meter, 7.57 meter dan 7.60 meter sekaligus melebur rekod lama 7.35 meter.

“Saya tidak menyangka memenangi Olahragawan Kebangsaan 2016. Kejayaan ini bukan hanya menyuntik semangat diri saya untuk terus melakar kejayaan di masa depan, malah memberi semangat kepada atlet paralimpik lain bahawa mereka mampu menjadi terbaik tanpa melihat perbezaan dengan atlet lain,’ kata Latif.

Selaku olahragawan kebangsaan 2016, Abdul Latif membawa pulang hadiah wang tunai RM20 000 dan piala pusingan.

Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2016 pula menjadi milik pemenang pingat emas Kejuaraan Silat Dunia ke-17 Indonesia, Siti Rahmah Mohamed Nasir.

Siti Rahmah, 30 tahun, mengenepikan juara bertahan iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Pandelela Rinong bersama empat calon lain iaitu Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Li Lian(bina badan) dan Aaliyah Yoong Hanifah(ski air).

“Saya bersyukur kerana diberi penghargaan ini. Berdiri dikalangan atlet-atlet terbaik di Malaysia memberi semangat kepada saya untuk lebih berusaha khususnya untuk menyumbangkan pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu,” kata Siti Rahmah.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio, Siti Noor Radiah Ismail dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan susulan kejayaannya memecahkan rekod para Asia di Rio dengan catatan 5.20 meter.

Manakala dua gandingan yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio dipilih sebagai pasukan terbaik.

Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan milik gandingan badminton beregu lelaki, Tan Wee Kiong dan Goh Wei Shem.

Manakala ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan gandingannya Cheong Jun Hoong memenangi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan susulan kejayaan membawa pulang pingat perak Rio dalam acara terjun 10 meter platform seirama.

Jaguh Keirin Dunia, Azizulhasni Awang turut menerima anugerah pilihan menerusi Anugerah TM Team Malaysia.

Majlis yang berlangsung di ibunegara itu semalam disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ M. Saravanan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali, Ketua Pengawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Mohd Khairi Zawi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Senarai pemenang-pemenang Anugerah Sukan Negara 2016

Anugerah Olahragawan Kebangsaan
Abdul Latif Romly(OLAHRAGA PARA)

Anugerah Olahragawati Kebangsaan
Siti Rahmah Mohamed Nasir(SILAT)

Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan
Siti Noor Radiah Ismail(OLAHRAGA PARA)

Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan
Tan Wee Kiong & Goh Wei Shem (BADMINTON)

Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan
Pandelela Rinong & Cheong Jun Hoong (AKUATIK TERJUN)

Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan
R. Jaganathan – Ketua Jurulatih Olahraga Paralimpik

Anugerah Jurulatih Wanita
Chin Eei Hui – Jurulatih Beregu Campuran Badminton

Anugerah Kepimpinan Sukan
– Tan Sri Datuk Seri Dr Mohd Ali Mohd Rustam (PESAKA)
– N. Shanmuga Rajah (GIMNASTIK)

Anugerah Tokoh Sukan
Tun Jeanne Abdullah (Majlis Paralimpik Malaysia)
Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar (Majlis Olimpik Malaysia)

Anugerah Khas
Dato’ Dina Rizal – Pengerusi Kelab Sukan Sports Unite
Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani – Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak)

Anugerah TM Team Malaysia
Azizulhasni Awang(Berbasikal Trek)

Tahniah kepada semua penerima-penerima anugerah!
#TeamISN #TakeThePodium