KEJAYAAN JAGUH DUNIA AZIZULHASNI AWANG JADI TUMPUAN PADA PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Nur ZatilBerita

MAIN 1

14 April 201, Putrajaya: Institut Sukan Negara(ISN) menggalas tugas selaku tuan rumah bagi Perhimpunan Bulanan Kementerian Belia dan Sukan bagi bulan April di Dewan B, Menara KBS Putrajaya siang tadi.

Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan Dato’ Lokman Hakim Ali.

Antara intipati ucapan adalah kejayaan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang meraih gelaran Juara Dunia dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong semalam paling menjadi tumpuan lebih-lebih lagi melihat kesungguhannya beraksi di kalangan pelumba terbaik dunia. Ia selaras dengan idea “Winning Mentality” iaitu satu program yang sedang diketengahkan KBS dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.

Selain itu kejayaan beberapa atlet olahraga antaranya Zaidatul Husniah Zulkifli yang memperbaharui rekod 100 meter wanita juga antara lain perkembangan yang baik menjelang giliran Malaysia menjadi tuan rumah Kuala Lumpur 2017.

“Setiap kakitangan di KBS juga diingatkan untuk mengamalkan keikhlasan dalam bekerja. Aspek integriti amat diambil berat dimana KBS sentiasa memantau sistem bekerja kakitangan. Sistem pengurusan kewangan, asset dan sumber manusia amat dititiberatkan bagi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik,” kata Dato’ Lokman.

Tahun 2017 adalah tahun yang paling padat bagi KBS khususnya berkaitan Kuala Lumpur 2017 dan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50). Setiap pegawai diharap dapat berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan objektif program yang dirancang dapat dicapai.

Dalam majlis siang tadi penghargaan turut diberikan kepada perkhidmatan terbaik kakitangan KBS. Antaranya anugerah yang menjadi tumpuan ialah Anugerah Kategori Teknikal menyaksikan Institut Sukan Negara meraih naib johan menerusi tajuk projek, “Kesukaran Mengukur Kekuatan Pada Bahagian Lower Limb Atlet”. ISN sekaligus menerima wang tunai sebanyak RM 2000 beserta sijil.

Hadir sama dalam majlis siang tadi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), KBS, Encik Nik Abd Kadir Nik Mohammad, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr. Mohd Khairi Zawi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.