KEKAL PEMAKANAN SIHAT DI HARI RAYA

Atlet dinasihatkan mengutamakan pemakanan yang sihat sepanjang musim perayaan ini.

Siapakah yang mampu menolak daripada menikmati pelbagai hidangan enak seperti lemang, ketupat dan rendang di hari raya? Inilah saaat untuk menjamu selera setelah 30 hari menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan.

Bagi mengelak daripada terlebih makan, pesan kepada diri agar berhenti makan sebelum kenyang. Cukuplah sekadar merasai juadah yang disediakan daripada menyesakkan perut anda walaupun dikelilingi dengan pelbagai jenis makanan yang mungkin ditemui setahun sekali.

Begitu juga kepada para atlet, keutamaan untuk mengawal dan mengekalkan pemakanan yang sihat adalah penting sepanjang musim perayaan ini. Tip berikut boleh digunakan ketika bertandang ke rumah terbuka :

  1. Pastikan anda tidak berkunjung ke rumah terbuka dalam keadaan lapar. Ini kerana, ketika lapar kita pasti akan mengikut nafsu untuk mengambil makanan yang banyak
  2. Utamakan makanan berkhasiat. Banyakkan mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan minuman jus.
  3. Kawal jumlah makanan. Ambil makanan yang pelbagai dalam kuantiti sedikit agar anda dapat merasai sajian yang terhidang. Gunakan piring kecil agar makanan yang diambil nampak banyak.
  4. Kawal pemakanan yang teratur. Pastikan pemakanan harian anda kekal teratur mengikut waktu dan keperluan sepertimana biasa.
  5. Maklumkan!. Sama ada kepada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, pastikan anda memaklumkan objektif pemakanan anda sebagai seorang atlet. Mungkin mereka juga akan dapat memahami situasi anda dan turut sama memberi galakkan kepada anda.

Ingati kembali tujuan kunjung-mengunjung di hari lebaran daripada hanya fokus kepada makanan semata-mata. Kekalkan tradisi zaman berzaman untuk mengeratkan silaturrahim dan saling maaf-bermaafan.

Berikut adalah maklumat kandungan kalori lemang, ketupat, serunding, lontong dan pelbagai makanan lazat di hari raya. Untuk panduan bersama;

* merujuk kepada Makanan > Saiz Hidangan > Kalori

  1. Ketupat > 1 biji (80g) > 88
  2. Ketupat Palas > 1 biji (80g) > 124
  3. Lemang > 1 Potong (Sederhana) > 82
  4. Lontong Sayur > 1 Mangkuk > 350
  5. Soto Ayam > 1 Mangkuk > 403
  6. Laksa > 1 Mangkuk > 550
  7. Serunding Daging > 55g (1 genggam kecil) > 200
  8. Serunding Ayam > 55g (1 genggam kecil) 180
  9. Rendang Ayam > 1 ketul dgn kuah > 148
  10. Rendang Daging > 2 potong sederhana dgn kuah > 112
  11. Nasi putih > 1 genggam tangan > 150
  12. Nasi Briyani > 1 Pinggan (2 genggam)> 487
  13. Nasi Himpit > 5 potong > 150
  14. Mee-hoon Goreng > 1 pinggan kecil > 295
  15. Teh Tarik > 1 Gelas > 90
  16. Nescafe Tarik > 1 Gelas > 100
  17. Kopi-O Kosong > 1 Gelas > 2
  18. Minuman Ringan > 1 Gelas > 85
  19. Air Kosong > 11 Gelas > 0
  20. Air Sirap > 1 Gelas > 85
  21. Kuih Tart Nenas > 1 Tart Kecil > 50
  22. Biskut Raya (secara am) > 1 biji > 25
  23. Dodol > 1 potong > 71
  24. Kuih Lapis > 1 potong > 132
  25. Tapai Pulut > 1 biji > 134
  26. Ais Krim > 1 scoop biasa > 95
  27. Kurma > 1 biji besar > 60
  28. Cheese Cake > 1 potong sederhana > 240
  29. Kek Coklat (Fudge) > 1 potong sederhana > 250
  30. Kek Coklat (Sponge) > 1 potong sederhana > 180

SELAMAT HARI RAYA! 😀 #TeamISN #TeamKBS