KONTIJEN NEGARA TETAP MAMPU CAPAI 40 EMAS

PALEMBANG, Indonesia – Kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2014 masih berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya edisi ke-17 yang berlangsung di Palembang.

Sejak temasya itu bermula pada 8 Disember lalu, kontinjen negara telah meraih lapan pingat emas menerusi sukan wusyu dan karate yang telah melabuhkan tirai baru-baru ini.

Ketua Kontinjen AUG ke-17, Prof. Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, peluang untuk mencapai sasaran itu masih ada kerana acara-acara yang menawarkan banyak pingat masih di pusingan awal.

“Saya harap dalam tempoh terdekat apabila bermulanya acara olahraga, renang, terjun dan memanah, kontinjen negara dapat mengumpul lebih banyak pingat emas.

“Kami juga melihat acara silat, badminton dan lawan pedang sebagai acara yang sangat berpotensi untuk kami mencapai sasaran pingat (40 emas) yang telah dibuat sebelum berangkat ke Palembang,” kata Abdullah semalam.

Temasya AUG kali ini akan menjadi tumpuan apabila bermulanya acara olahraga pada hari ini, diikuti renang (esok) dan terjun pada Rabu.

Acara badminton akan bermula hari ini, manakala dua lagi sukan yang berpotensi iaitu pencak silat dan lawan pedang akan bermula esok.

Abdullah turut memuji pencapaian cemerlang yang dipamerkan skuad bola sepak, karate dan wusyu yang mempamerkan aksi memberangsangkan pada temasya kedua terbesar selepas Sukan SEA itu.

“Saya juga ingin menyatakan rasa gembira bagi acara bola sepak petang tadi kami menang 5-0 ke atas Singapura dan ini melayakkan kita terus beraksi ke separuh akhir.

“Acara karate telah tamat dan kejayaan meraih enam emas menunjukkan Malaysia sangat berpotensi untuk menjadi negara terbaik dalam acara karate.

“Wusyu telah membuat kejutan apabila emas kedua yang tidak disangka-sangka diraih menerusi acara duilian,” jelasnya.

Ditanya kemampuan kontinjen negara untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih pada AUG 2012, Abdullah percaya, semua atlet perlu bekerja keras jika mahu mengulangi pencapaian di Laos itu.

Sumber : Kosmo Online