KONTINJEN MALAYSIA BURU 111 PINGAT EMAS DI SUKAN SEA 2017 DAN 103 PINGAT EMAS DI SUKAN PARA ASEAN 2017

Nur ZatilBerita

MAIN 1

PUTRAJAYA, 10 OGOS 2017: 9 hari menjelang pembukaan rasmi Sukan SEA 2017, Menteri Belia dan Sukan Brig Jen Khairy Jamaluddin mengumumkan 111 pingat emas menjadi sasaran kontinjen negara diikuti sasaran 103 pingat emas diletakkan bagi kontinjen paralimpik negara yang beraksi pada Sukan Para ASEAN 2017 September nanti.

Sasaran 111 pingat emas tersebut dilihat paling seimbang diletakkan selepas mengambil kira beberapa analisis yang telah dibuat sekaligus menyaksikan sasaran tersebut membolehkan impian Malaysia untuk menjadi juara keseluruhan terlaksana.

“Selepas melihat pelbagai sudut, ada sukan yang kita optimis untuk mendapatkan pingat emas dan ada juga sukan yang kita konservatif untuk mendapatkan emas. Maka kita dapati sasaran 111 pingat emas ini adalah sasaran yang boleh dicapai. Ada analisa yang saya terima bahawa sasaran ini kemungkinan akan menjadi lebih daripada 111 emas dan ada juga analisa yang menyatakan akan kurang sikit daripada sasaran. Apapun sasaran ini dilihat realistik dalam usaha Malaysia untuk bergelar juara keseluruhan,” kata Khairy.

Siang tadi berlangsung majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para Asean yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya.

Dalam majlis pembukaan Sukan SEA pada 19 Ogos ini, kontinjen Malaysia menampilkan tiga juara dunia iaitu Al Jufferi Jamari, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang sebagai pembawa Jalur Gemilang yang mengetuai kontinjen Malaysia seramai 845 atlet dan 390 pegawai yang menyertai 398 acara bagi 38 jenis sukan.

Manakala turut diumumkan siang tadi pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan Sukan Para ASEAN pada 16 September 2017 iaitu tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Brazil menerusi Mohd Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Ridzuan Puzi.

#kl2017 #bangkitbersama #TeamMAS #TeamISN #PoweredbyISN#Kitajuara