Kontinjen negara capai sasaran

Palembang: Tirai temasya Sukan Universiti Asean (AUG) edisi ke-17 di Palembang berlabuh dengan rasminya malam tadi dan kontinjen negara membawa pulang 40 emas, 43 perak dan 49 gangsa sekali gus berjaya mencapai sasaran 40 emas yang ditetapkan.
Seperti lazim, ada sukan yang gagal mencapai sasaran dan ada juga yang melakar kejutan walaupun tidak siapa menjangka senario itu boleh berlaku.
Sebagai contoh, pencak silat gagal memenuhi tuntutan walaupun mereka diharap mampu memenangi tiga emas, tetapi hanya satu yang berjaya dibawa pulang.
Sebaliknya, sukan seperti tenis berjaya mengejutkan terutama kejayaan Jawariah Nordin yang menamatkan kemarau emas 33 negara di temasya itu.
Secara keseluruhan, persembahan atlet negara pada temasya itu tidak mengecewakan dan ia memberi petanda Malaysia tidak pernah ketandusan atlet berkaliber.
Begitupun, yang berlalu, sudah menjadi sejarah dan semua pihak perlu memandang ke depan dan tidak lama lagi, temasya Sukan Universiti Dunia akan berlangsung di Korea Selatan.
Mungkin masanya sudah tiba buat kontinjen negara memenangi emas pertama di peringkat dunia itulah juga mahu disampaikan Setiausaha Bahagian Sukan, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Hazally Jali.
Beliau melihat badminton sebagai antara acara yang boleh menyumbang pingat di Sukan Universiti Dunia itu.
“Lupakan soal AUG. Saingan di AUG sudah tamat dan kami tidak boleh berhenti serta berpuas hati dengan apa yang kami capai di sini (Palembang).
“Kami mempunyai temasya lain dan lebih besar untuk diperhatikan. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan kami mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.”
Sumber : Harian Metro