LARIAN OBOR KUALA LUMPUR 2017 HANGATKAN FIT MALAYSIA MELAKA

20 Mei 2017, MELAKA- Buat pertama kali penjelajahan FIT Malaysia disemarakkan dengan semangat Bangkit Bersama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Dataran Restoran Melayu hari ini.

Ketibaan Larian Obor KL2017 di Melaka hari ini disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Roslan Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali.

Meskipun hujan lebat sejak awal pagi, ia tidak menghalang hampir 7000 pengunjung  untuk sama-sama memberi sokongan terhadap semangat KL2017.

Bagi Dato’ Lokman penganjuran FIT Malaysia tahun ini amat berbeza daripada edisi sebelum ini kerana ia turut membawa kempen Kuala Lumpur 2017.

Jelas sambutan meriah yang diterima di Dataran Restoran Melayu hari ini membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada kontinjen Malaysia yang akan beraksi dalam temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu nanti.

“KBS melihat sambutan FIT Malaysia bagi edisi ketiga tahun ini amat berbeza kerana ia turut membawa semangat Kuala Lumpur 2017. Dengan penjelajahan FIT Malaysia ke seluruh negara ini diharapkan dapat dimanfaatkan untuk mendekatkan rakyat Malaysia tentang kesedaran Sukan SEA 2017 yang membawa misi penting buat kontinjen Malaysia untuk memburu gelaran juara keseluruhan buat kali kedua,” kata Dato’ Lokman.

FIT Malaysia di Melaka kali ini terus mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia dengan menganjurkan beberapa acara seperti larian 10km dan 5km, acara berbasikal 30km dan 10km, aktiviti zumba serta penyertaan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat tempatan menerusi pembukaan booth pameran.

Seperti lokasi-lokasi FIT Malaysia sebelum ini, booth Institut Sukan Negara(ISN) paling menjadi tumpuan orang ramai dengan menyediakan pelbagai aktiviti-aktivit berkaitan sains dan perubatan sukan seperti Watt Bike Race dan Functional Movement Screening(FMS).

Aktiviti Watt Bike Race paling menerima sambutan hangat dimana orang ramai berpeluang merasai pengalaman sebenar Jaguh Keirin Dunia, Azizulhasni Awang ketika berada dalam sesuatu perlumbaan kompetitif.

Larian Obor Sukan SEA 2017 akan menuju ke Negeri Sembilan pada 22 Mei 2017 sebelum diterbangkan ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 3 Jun 2017.

Hadir sama dalam FIT Malaysia kali ini Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, En. Zawawi Zakaria.