MAJLIS SUKAN NEGERI JOHOR TAGIH SENTUHAN ISN UNTUK PERKASAKAN PROGRAM PEMBANGUNAN SUKAN NEGERI

11 April 2017, Kuala Lumpur: Menyedari cabaran sukan moden yang bergelut menghasilkan atlet berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, Majlis Sukan Negeri Johor mengorak langkah tampil dengan deraf pembangunan atlet yang dikenali sebagai Program Titanium 20 (T20) bagi memantapkan program pembangunan atlet di negeri itu menjelang giliran selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2020.

Untuk merealisasikan impian ini, MSN Johor turut mendapatkan nasihat dari Institut Sukan Negara(ISN) dalam menggunakan pendekatan sains dan perubatan sukan bagi memantapkan program pembangunan bakat menerusi lawatan rasmi ke Bukit Jalil siang tadi.

Lawatan Jawatankuasa Belia dan Sukan Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor itu diketuai Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz yang disambut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Ahmad Zawawi Zakaria dan Pengarah Bahagian Prestasi Sukan Dr. P. Vellapandian.

Delegasi turut dibawa melawat di sekitar ISN untuk melihat sendiri perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang diberikan kepada atlet-atlet negara antaranya melawat ke bahagian fisioterapi, biomekanik dan suaian fizikal.

“Kami amat kagum dengan teknologi yang dimiliki ISN. Selepas melawat ke bahagian-bahagian sains dan perubatan sukan sebentar tadi saya lihat sentuhan sains dan perubatan sukan adalah elemen yang amat penting untuk membangunkan bakat sukan,” kata Mohd Gadaffie.

Bagi ISN, sokongan di peringkat negeri telah lama diwujudkan di setiap negeri menerusi Pusat ISN Negeri yang telah diwujudkan sejak tahun 2008. Misalannya di Negeri Johor, salah satu lokasi Pusat ISN Negeri terletak di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail(SSTMI) di Bandar Penawar,Kota Tinggi Johor. Cuma fungsi dan pekhidmatan Pusat ISN Negeri setakat ini lebih tertumpu kepada keperluan atlet-atlet Pelapis Kebangsaan.

“ISN sentiasa bersedia memberi sokongan terhadap mana-mana pihak yang ingin membangunkan sukan di negeri masing-masing. Malah bantuan dan perkhidmatan ISN telah terbukti memperkasakan program pembangunan contohnya seperti insiatif Negeri Terengganu yang telah terbukti melahirkan ramai atlet berkualiti,” kata Dr. Khairi.

MSN Johor mensasarkan Program Titanium 20 sebagai platform yang lebih komprehensif melahirkan atlet bertaraf dunia untuk membawa nama Malaysia di persada antarabangsa di masa akan datang.

Pada tahun 2020, Negeri Johor akan menjadi tuan rumah SUKMA buat kali kedua selepas kali terakhir diadakan pada tahun 1992.  Sepanjang penyertaan dalam SUKMA, Negeri Johor belum pernah bergelar juara keseluruhan menjadikan edisi ke-20 pada tahun 2020 itu nanti menjadi buruan buat mereka memburu kejuaraan sulung.