Pandelela, Jun Hoong sumbang pingat pertama buat Malaysia

RIO DE JANEIRO, 10 Ogos 2016 – Gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menceriakan kontinjen negara apabila menyumbang pingat pertama di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro ini.

Mereka berjaya meraih mata 52.80, 52.80, 76.50, 79.68 dan 82.56 untuk mengesahkan status sebagai pemenang pingat perak.

Catatan mata ini bagaimanapun gagal menandingi China sebagai kuasa besar dalam sukan terjun apabila gandingan Chen Ruolin dan Liu Huixia mengumpul 55.80, 55.80, 79.20, 75.84, dan 87.36 mata untuk catatan keseluruhan 354 mata sekaligus dinobat sebagai pemenang pingat emas.

Bagi Pandelela ini adalah pingat kedua dalam Sukan Olimpik setelah beliau mencatat sejarah memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu di London 2012.

Pandelela juga diramal mempunyai peluang untuk menambah pingat bagi kontinjen Malaysia dimana beliau akan bertanding acara 10 meter platform individu pada Khamis.