banner

PUSAT PEMAKANAN SUKAN

Keupayaan seseorang individu untuk membuat pilihan makanan dan minuman dalam kuantiti yang betul dan pada masa yang sesuai dengan tujuan untuk memberi tenaga kepada badan bagi mencapai prestasi maksimum adalah kunci kepada pemakanan prestasi.

Atlet perlu makan untuk memberi tenaga semasa latihan dan pemulihan. Mereka juga perlu makan dengan betul semasa perlawanan. Pemakanan atlet juga boleh mempengaruhi penyesuaian latihan, risiko kecederaan dan risiko penyakit.

Oleh itu, pasukan pakar pemakanan dan dietitian di Pusat Pemakanan Sukan, Institut Sukan Malaysia berada di sini untuk menyokong atlet dalam mencapai yang terbaik dengan memberikan perkhidmatan yang berasaskan bukti saintifik dan mengikuti falsafah utamakan makanan.

Senarai Fungsi Pusat Pemakanan Sukan

 

  1. Menilai keperluan pemakanan atlet berdasarkan keperluan individu, jenis aktiviti dan acara yang diceburi dengan menggunakan pendekatan saintifik yang sesuai dan terkini.
  1. Merancang intervensi pemakanan bagi memenuhi keperluan atlit untuk sesi latihan dan pertandingan serta mencapai prestasi optimum.
  1. Mengendalikan aktiviti pendidikan pemakanan sukan kepada atlet, jurulatih dan pemegang taruh berkenaan.
  1. Menyediakan perkhidmatan minuman pemulihan kepada atlit melalui Juz Reward Station dan Recovery Truck.
  1. Menyediakan perkhidmatan medical nutrition therapy (MNT) di Klinik Diet bagi kes rujukan klinikal.
  1. Menjalankan aktiviti berkaitan quality assurance dan kajian gunaan bagi memelihara dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang pemakanan sukan.
  1. Menjalinkan hubungan professional dengan pemegang taruh dan sesama penggiat profesional lain.

Perkhidmatan Pemakanan Sukan

  1. Penilaian Komposisi Tubuh

Penilaian komposisi tubuh adalah merupakan penilaian yang digunakan dalam mengenalpasti status komposisi tubuh bagi seseorang atlet dalam menetapan sasaran jisim tubuh badan pada julat yang optimum yang akan membantu dalam prestasi sukan secara langsung ataupun tidak langsung. Sasaran ditetapkan dengan objektif penurunan, peningkatan mahupun pengekalan jisim tubuh. Kaedah-kaedah pengukuran yang digunakan adalah Bioimpedance Analysis (BIA), Skinfold measurement dan Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DEXA).

  1. Program Pengurusan Berat Badan

Program pengurusan berat badan merupakan intervensi pemakanan yang dijalankan bagi mencapai sasaran komposisi tubuh atlet yang ideal bagi tujuan kesihatan, adaptasi latihan serta mengoptimumkan prestasi atlet semasa pertandingan. Matlamat program adalah sama ada penurunan berat badan, peningkatan berat badan atau pengekalan berat badan melalui strategi peningkatan/pengekalan jisim otot tubuh atau/dan penurunan jisim lemak tubuh. Aspek pengambilan tenaga serta makronutrien utama iaitu karbohidrat dan protein dirancang berdasarkan matlamat yang ditetapkan untuk mencapai sasaran komposisi tubuh dan adalah bersesuaian dengan intensiti latihan atlet dan diberikan dalam bentuk pelan makanan secara individu (individualized meal plan).

  1. Penilaian Status Hidrasi

Penilaian status hidrasi merupakan penilaian yang dijalankan bagi mengenalpasti dan memantau status hidrasi atlet mengikut keperluan sukan, tertutamanya sukan yang melibatkan daya tahan, sukan berpasukan, sukan tempur dan sukan-sukan outdoor yang tertentu di mana keadaan dehidrasi boleh menjejaskan prestasi sukan. Kaedah yang digunakan bagi menilai status hidrasi atlet ialah pemantauan warna air kencing, pengukuran Urine Spesific Gravity (USG) serta penilaian perubahan berat badan sepanjang latihan / pertandingan untuk memantau kehilangan cecair daripada badan (Sweat Rate Analysis).

  1. Pendidikan Pemakanan Sukan

Pendidikan pemakanan sukan bertujuan untuk mendidik atlet dan komuniti aktif berkenaan panduan pemakanan sihat secara umum serta strategi pemakanan spesifik kepada sukan / acara semasa latihan dan pertandingan bagi meningkatkan prestasi sukan. Pendidikan pemakanan dijalankan secara individu, berkumpulan atau dalam kuliah serta penghasilan bahan pendidikan dan penyebaran maklumat pemakanan sukan melalui platform media sosial.

  1. Program Penilaian Penggunaan Supplement

Program penilaian penggunaan supplement adalah untuk menilai keperluan pengambilan supplement oleh atlet serta memberikan preskripsi supplement bagi memenuhi keperluan makronutrien berdasarkan matlamat latihan, memperbaiki kekurangan nutrisi (nutrient deficiency) dan menyokong pemulihan selepas latihan.

  1. Program Intervensi Pemakanan Sukan (Nutrition Performance Plan)

Program ini berfokuskan perancangan spesifik dalam merangka intervensi pemakanan sukan bagi menyokong adaptasi dan matlamat latihan dan prestasi atlet semasa pertandingan melalui periodisasi. Perancangan ini melihat aspek-aspek keperluan tenaga dalam latihan, pengambilan tenaga melalui pengambilan karbohidrat, protein serta lemak, perancangan pemakanan sebelum, semasa dan selepas latihan, hidrasi dan penetapan komposisi tubuh.