PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D) TEKNOLOGI SUKAN JADI BIDANG TUJAHAN R&D UTAMA ISN SELEPAS RAIH PENGIKTIRAFAN DARIPADA MAJLIS SAINS NEGARA

 

11 MEI 2017, PUTRAJAYA: Selepas memberi penumpuan kepada bidang sains perubatan dan sains sukan, Institut Sukan Negara(ISN) kini melebarkan sayap dalam bidang teknologi sukan apabila diiktiraf oleh Majlis Sains Negara(NSC) sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan(R&D) Teknologi Sukan Negara.

Pengiktirafan diumumkan  dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pada 2 Mei 2017, merupakan pengiktirafan julung kali yang diberikan oleh NSC kepada agensi sukan tempatan.

Dengan pengiktirafan ini menjadikan tumpuan ISN kini terarah kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sukan dalam memantapkan bidang sukan negara ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh ISN bagi meneliti semula struktur dan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedia ada dengan memberi penumpuan kepada teknologi sukan.

“Pengiktirafan ini tidak bermakna penyelidikan dan pembangunan R&D sukan sebelum ini akan diketepikan, malah akan diteruskan seperti biasa. Malah pengiktirafan ini menjadikan bidang penyelidikan dan pembangunan R&D teknologi sukan akan diperhebatkan sekaligus menjadikan fokus utama ISN selepas ini,” kata Dr. Khairi.

Ini bermakna segala penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sukan yang dilakukan mana-mana pihak dalam negara perlu mendapat pemantauan oleh pihak ISN termasuk penyaluran dana dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi sukan.

Dalam mesyuarat yang sama, turut menyatakan sokongan penuh kepada ISN untuk menjadi peneraju kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi sukan negara.

Perdana Menteri turut mengharapkan pengiktirafan kepada ISN ini dapat memberi impak langsung kepada prestasi atlet negara untuk terus mencipta kejayaan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan atlet-atlet negara di pentas antarabangsa turut menarik perhatian Datuk Seri Mohd Najib di mana pendekatan sains sukan yang turut disokong oleh penerapan teknologi sukan terbukti membantu beberapa jaguh negara menempa kejayaan di peringkat antarabangsa antaranya menerusi pemenang-pemenang pingat emas Sukan Paralimpik di Rio De Jeneiro tahun lalu dan terbaharu pencapaian juara keirin dunia, Azizulhasni Awang dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong pada Mac lalu.

Projek-projek teknologi sukan akan diperhalusi dan dibangunkan melalui keputusan Jawatankuasa Khas Teknologi Sukan KBS/ISN yang akan ditubuhkan khusus bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi sukan (R&D) terhadap atlet prestasi tinggi, selari dengan sasaran KBS iaitu misi prospek pingat di kejohanan tempatan dan antarabangsa serta berpotensi memberikan kelebihan kompetitif melalui pemerkasaan dan pemantapan teknologi sukan negara.