PERSEDIAAN ATLET MENJALANI LATIHAN KETIKA KUALITI UDARA TERJEJAS

Keadaan jerebu yang semakin teruk di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak beberapa hari ini, terutamanya yang berada di negeri Johor dan Melaka yang menyaksikan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi. Disamping itu, rakyat Malaysia juga kini berhadapan dengan cuaca panas dan kering berikutan Monsun Barat daya yang berlangsung sejak pertengahan Mei lepas.

Di kesempatan ini, Institut Sukan Negara ingin memberi nasihat dan panduan kepada atlet-atlet yang menjalani latihan lebih-lebih lagi atlet yang akan beraksi pada Kejohanan Sukan Malaysia 2013 nanti.

Situasi yang melanda ini turut memberi cabaran kepada atlet dan orang awam dalam kegiatan sukan di lapangan. Dimana kualiti udara juga boleh memberi kesan kepada atlet dan orang awam, terutama mereka yang mengidap penyakit asma.

Oleh yang demikian, para atlet mahupun jurulatih perlu mengetahui nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum mengadakan aktiviti latihan atlet. Berikut bacaan IPU yang perlu menjadi panduan atlet dan jurulatih:-

Bacaan IPU 0 – 50 = Diklasifikasi sebagai baik
Bacaan IPU 51 – 100 = Diklasifikasi sebagai sederhana baik
Bacaan IPU 101 – 200 = Diklasifikasi sebagai tidak sihat
Bacaan IPU 201 – 300 = Diklasifikasi sebagai sangat merbahaya

– sumber daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (http://www.doe.gov.my/apims/index.php).

Atlet tidak digalakkan  meneruskan latihan jika IPU berada di atas paras bahaya kerana gabungan pencemaran udara dan latihan boleh mengakibatkan masalah kesihatan pada sistem pernafasan. Untuk makluman, ketika melakukan aktiviti latihan, atlet cenderung menyedut udara yang lebih dan bernafas lebih jauh ke dalam paru-paru.

Kebanyakan atlet akan bernafas melalui mulut ketika sesi latihan dan udara yang di sedut umumnya memintas saluran hidung yang biasanya menapis zarah pencemaran udara. Masalah kesihatan yang melibatkan pencemaran udara terdiri daripada kerosakan pada saluran pernafasan paru-paru, peningkatan risiko pencetusan asma, risiko serangan jantung dan strok serta boleh membawa kematian dalam kes-kes yang ekstrem.

Untuk menghadkan kesan-kesan pencemaran udara ketika melakukan latihan, Institut Sukan Negara mengesyorkan beberapa panduan mudah untuk para atlet dan jurulatih menjalani latihan ketika berlakunya pencemaran udara. Berikut merupakan cadangan untuk latihan ketika situasi pencemaran udara :-

  1. Elakan daripada mengadakan latihan berintensiti tinggi ketika paras IPU berada di paras tertinggi. Pantau tahap pencemaran udara dari semasa ke semasa melalui siaran radio, televisyen mahupun secara talian. Elakan daripada menjalani latihan pada waktu tengahari atau petang di mana tahap pencemaran udara adalah yang paling tinggi. Atlet di tegah menjalani latihan apabila bacaan IPU melebihi 100 ataupun mempunyai simptom mengantuk dan sesak nafas.
  2. Menjalani latihan di dalam kawasan tertutup/ stadium tertutup merupakan langkah yang paling efektif untuk mengekalkan dan meneruskan program latihan atlet. Jika pencemaran udara berterusan untuk tempoh yang lama, variasikan rutin latihan seperti latihan suaian fizikal, larian menggunakan “treadmill” , berbasikal, berenang, latihan litar dan lain-lain.
  3. Minum lebih banyak air kerana ia membantu mengelakan sebarang kebarangkalian jangkitan paru-paru. Air juga boleh membantu proses mencuci dan membersihkan zarah pencemaran di dalam saluran pernafasan apabila atlet terdedah kepada pencemaran udara ketika sesi latihan di luar.
  4. Bagi sukan yang benar-benar memerlukan latihan luar seperti bola sepak, hoki, kapal layar dan sebagainya, pasukan itu boleh mempertimbangkan untuk menjalani latihan buat sementara waktu di luar negara yang bebas daripada masalah pencemaran jerebu.

Institut Sukan Negara juga turut mengesyorkan kepada mana Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan atau penganjur kejohanan, jikalau boleh dapat menunda sebarang aktiviti fizikal luar bagi memastikan keselamatan dan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin jika bacaan IPU melepasi nilai 100.

Institut Sukan Negara (ISN) juga akan turut memantau dari semasa ke semasa situasi jerebu yang melanda negara dan akan member khidmat nasihat yang terbaik kepada atlet dan jurulatih.