PUSAT LATIHAN TALENT OUTREACH DIBUKA DI MERLIMAU

MERLIMAU, MELAKA 11 MAC 2018 – Institut Sukan Negara (ISN) melancarkan Pusat Latihan Talent Outreach Merlimau, Melaka untuk sukan Ragbi yang merupakan pelancaran pertama untuk lima pusat latihan tambahan di lima zon berlainan seluruh Malaysia.

Program Talent Outreach ISN yang merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertindak dalam menyediakan platform pembangunan bakat sukan dalam kalangan komuniti “at risk” dan B40 (pendapatan isi rumah bawah RM 3000.00) luar bandar dengan sasaran jangka panjang untuk golongan-golongan yang terbabit mencapai kegemilangan hidup menerusi bakat sukan seterusnya mengalami mobiliti sosial menerusi proses tersebut.

Lapan jenis sukan dipilih pada permulaan program ini, antaranya adalah badminton, bola sepak, karate, memanah, olahraga, ragbi, renang dan silat.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr Mohd Khairi Zawi berkata semua pusat latihan berkenaan dibuka secara berperingkat dan lima daripadanya iaitu di Merlimau, Melaka; Keningau, Sabah; Padawan, Sarawak; Gerik, Perak; dan Kampung Kubang Batang, Kelantan adalah pusat latihan baharu dibuka tahun ini.

Pusat Latihan Talent Outreach Merlimau, Melaka dikendalikan jurulatih yang berpengalaman dalam kejurulatihan ragbi, Mohd Shafie Osman yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan negeri Melaka dan juga pasukan negara.

Majlis pelancaran bagi program ini dirasmikan Pengarah Politeknik Merlimau, Pn. Hjh. Rashidah Bt. Mustapa yang turut disaksikan barisan pengurusan ISN yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Bin Zawi.

#PoweredByISN#TeamISN