ROAD TO TOKYO 2020 – YSD TAJA RM2.6 JUTA UNTUK SKUAD MUDA BERBASIKAL TREK

KUALA LUMPUR , 17 November 2016 – Yayasan Sime Darby (YSD) meneruskan pembiayaan bagi skuad berbasikal trek dengan penajaan berjumlah RM2.6 juta bagi persediaan enam pelumba muda untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Enam pelumba tersebut ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Khairil Nizam Rasol, Anis Amira Rosli, Muhammad Fadil Mohd Zonis, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Farina Shawati Mohd Adnan.

Keenam-enam pelumba itu tersebut telah dipilih oleh ketua jurulatih berbasikal negara John Beasley berdasarkan potensi yang mereka miliki.

Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam berkata kemenangan Azizulhasni memperoleh gangsa di Olimpik Rio 2016 meyakinkan mereka untuk menaja pasukan muda ini.

Beliau turut berkata, Azizulhasni dan Fatehah tidak meneruskan bersama di bawah YSD. Bagaimanapun, sokongan yang telah YSD berikan kepada mereka sejak 2010 berjaya membantu mereka meraih pencapaian mengagumkan.

Sebelum ini YSD menaja keseluruhan berjumlah RM4.85 juta bagi persiapan Olimpik London 2012 dan Rio 2016.