SEMINGGU SELEPAS KEMALANGAN: DUA PELUMBA PARA CYCLING NEGARA BERI REAKSI POSITIF DI BAWAH PEMANTAUAN TEAMISN

KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2017: Genap seminggu insiden kemalangan melibatkan skuad para cycling negara di Lebuhraya LATAR, dua pelumba negara Khairul Hazwan Wahab dan Khairul Nizam Mohd Ali diberi peluang menaiki basikal sebagai salah satu sesi rehabilitasi dibawah kendalian TeamISN yang diketuai Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen Malaysia di Sukan Para ASEAN 2017, Dr. Azril Syazwan Mohd Ali.

Jelas kedua-duanya tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja seperti melepaskan kerinduan berbasikal meskipun hanya dikawasan setempat iaitu di perkarangan hotel penginapan rasmi kontinjen di Hotel Seri Pacific.

“Semangat saya membara dan keinginan berlumba memang sangat kuat kerana inilah impian saya untuk beraksi di Sukan Para ASEAN 2017. Saya memang sasarkan pingat emas dan insiden kemalangan itu tidak melunturkan semangat saya,” kata Khairul Hazwan Wahab.

Manakala bagi seorang lagi pelumba para-cycling negara, Khairul Nizam Mohd Ali beliau tidak sabar untuk kembali beraksi jika pulih sepenuhnya.

“Sudah lama tak kayuh saya rindu untuk kayuh semula. Alhamdulillah keadaan saya makin baik ada perkembangan positif. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti memberi sokongan kepada kami,” kata Khairul Nizam.

Sesi rehabilitasi selama hampir dua jam di penginapan rasmi kontinjen negara hari ini dipantau rapi TeamISN bagi melihat perkembangan pemulihan kedua-duanya yang mengalami luka-luka di beberapa bahagian badan.

Menurut Dr. Azril Syazwan, reaksi kedua-dua atlet dalam sesi rehabilitasi hari ini amat baik dan sesi rehabilitasi akan diteruskan lebih giat esok.

“Kami membuat keputusan untuk memberi peluang mereka menaiki basikal hari ini buat pertama kali selepas kemalangan Khamis lalu. Sesi rehabilitasi ini adalah berdasarkan keputusan positif yang dipamerkan kedua-dua atlet. Ia juga bertujuan untuk menguji samada mereka telah sembuh daripada symptom gegaran otak yang dialami dalam kemalangan tersebut. Alhamdulillah mereka dapat jalani latihan bukan sahaja pada tempoh pendek malah telah dipanjangkan ke tempoh yang sesuai,” kata Dr. Azril.

TeamISN memberi perhatian rapi terhadap kedua-dua atlet dimana sepanjang dibenarkan menginap di hotel penginapan kontinjen, segala keperluan atlet yang melibatkan perkhidmatan TeamISN diberi penumpuan antaranya daripada aspek psikologi, perubatan termasuk perkhidmatan jurupulih anggota ISN.

“Apa yang kita kesan dari peringkat awal selepas berlaku kemalangan atlet mengadu sakit kepala, sukar tidur dan berasa sedih. Jadi kita bekerjasanma dengan pasukan psikologi sukan Team ISN yang diketuai Rohana Yusuf membantu atlet ini untuk mengatasi simpton-simptom itu. Alhamdulillah pasukan psikologi sukan TeamISN telah banyak membantu dengan teknik-teknik yang telah diajar sekaligus mereka menunjukkan tanda- tanda positif,” tambah Dr. Azril.

Pada insiden Khamis lalu di Lebuhraya LATAR, Khairul Hazwan dan Khairul Nizam adalah antara lima individu yang terbabit dalam kemalangan ketika latihan.

Bagaimanapun kedua-dua jurumudi pelumba mereka iaitu Mohd Nur Rizuan Zainal dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy mengalami kecederaan serius dan digantikan dengan pelumba lain.

Dua pelumba berkenaan beraksi dalam acara tandem adalah prospek emas dalam acara ujian masa individu dan lepas beramai-ramai.

#TeamMAS #PoweredByISN