SKUAD BOLA JARING NEGARA JALANI LATIHAN BERINTENSITI TINGGI HADAPI KL2017

Nur ZatilBerita

MAIN 1

7 JUN 2017, BUKIT JALIL: Terlepas pingat emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura, skuad bola jaring negara tampil berbeza dalam edisi kali ini dengan persediaan lebih rapi untuk mengulangi sejarah Sukan SEA 2001 iaitu memenangi pingat emas sukan bola jaring di depan penyokong sendiri.

Mendapat sentuhan jurulatih dari Australia Tracey Robinson sejak setahun lalu, bukan hanya pendekatan baharu diperkenalkan malah pelbagai aspek sains sukan diberi penekanan untuk memantapkan atlet negara sebaris atlet antarabangsa.

Antara tumpuan skuad bola jaring adalah mempersiapkan aspek mental berdepan lawan yang mempunyai fizikal yang besar dalam memastikan pemain negara tidak terjejas dengan kelebihan pihak lawan.

Dengan itu, Australia menjadi lokasi pilihan skuad negara beraksi dalam enam perlawanan kompetitif berdepan pasukan-pasukan kelab divisyen 2 di Gold Coast dan Melbourne bermula 16 Jun ini.

“Saya yakin perlawanan di Australia akan memberi kesan positif kepada skuad negara. Setakat ini persediaan telah dilakukan dengan baik dan semua pihak bekerja keras untuk memastikan kami terus memperbaiki mutu permainan,” kata Tracey.

Malah latihan berdepan skuad lelaki negara turut diadakan sekali seminggu bagi membiasakan mereka berdepan lawan yang mempunyai fizikal yang lebih besar.

“Ketika beraksi di kejohanan antarabangsa kebanyakan negara mempunyai fizikal yang lebih besar. Seperti yang diketahui saiz pemain negara agak kecil namun menerusi perlawanan sebegini ia dapat membentuk kekuatan fizikal dan mental mereka. Aspek kekuatan dan suaian fizikal juga amat penting bagi memastikan pemain negara bersedia dengan tekanan berdepan perlawanan dengan pasukan luar negara,” tambah Tracey.

Menurut pengurus pasukan negara, Zaiton Ab Ghani, skuad negara menjalani latihan 6 hari seminggu termasuk sesi latihan suaian fizikal kendalian pegawai Institut Sukan Negara(ISN), Muhammad Fariq Abd Rahman yang merupakan jurulatih kekuatan dan suaian fizikal bagi sukan berpasukan wanita.

“Khidmat ISN banyak membantu skuad bola jaring negara memperbaiki tahap permainan sedia ada. Menerusi latihan di gim selama 1 jam 30 minit membantu pemain-pemain meningkatkan kekuatan badan masing-masing,” kata Zaiton.

Bagi latihan di Australia, skuad negara akan berlepas ke Gold Coast pada 16 hingga 22 Jun 2017 sebelum mengharungi sesi latihan kedua di Melbourne pada 7 hingga 22 Julai 2017.