Skuad takraw capai sasaran layak ke separuh akhir

INCHEON – Pingat gangsa sudah pasti berada genggaman skuad sepak takraw negara apabila berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir acara berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia 2014 semalam.
Dalam aksi terakhir Kumpulan B di Gimnasium Bucheon semalam, skuad kendalian Jamaluddin Hassan itu meneruskan kemaraan selepas menjinakkan China 3-0.
Ia merupakan kemenangan sulung skuad negara selepas terlebih dulu ditewaskan Indonesia 1-2 kelmarin.
Namun, tugas getir menanti anak-anak buah Jamaluddin ekoran terpaksa berdepan musuh tradisi, Thailand dalam aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di venue yang sama hari ini.
Thailand menerajui Kumpulan A selepas menewaskan Jepun 3-0 semalam sementara naib juara kumpulan, Korea Selatan pula bakal berdepan juara Kumpulan B, Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.
“Alhamdulillah, misi ke separuh akhir berjaya dicapai.
“Sudah tentu ia sesuatu yang sukar apabila bertemu Thailand tetapi tiada apa-apa yang mampu kami lakukan sebaik tumpas kepada Indonesia pada aksi pertama.
“Namun, saya tetap gembira dengan semangat juang pemain merealisasikan sasaran pingat, apa warna pun tak kisah asalkan pingat,” kata Jamaluddin.
Dalam aksi semalam, regu pertama negara, Mohd. Zamree Mohd. Dahan (apit kanan), Mohd Syazreenqamar Salehan (apit kiri) dan Mohammad Syahir Rosdi (tekong) berjaya menyumbang mata pertama negara apabila menang straight set 21-17, 21-18.
Kecemerlangan skuad negara tidak terhenti di situ apabila gandingan regu kedua, Mohamad Fadzli Mohd. Roslan (apit kanan), Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri) dan Izurin Refin (tekong) berjaya memastikan mata seterusnya menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-12.
Regu ketiga, Mohd. Helmi Ismail (apit kanan), Muhammad Idham Sulaiman (apit kiri) dan Amirul Zazwan Amir (tekong) akhirnya memastikan kemenangan bergaya Malaysia apabila menang straight set 21-4, 21-16.
Jamaluddin berkata, beliau mengharapkan anak-anak buahnya memberikan cabaran kepada Thailand kali ini meskipun menyedari ia bukan satu tugas yang mudah.
“Kami juga berdepan sedikit kesukaran menjalani latihan kerana gelanggang yang terhad, namun saya enggan menjadikannya sebagai alasan dan berharap supaya pemain dapat memberikan yang terbaik,” katanya.
Sumber :  Kosmo