Tahniah ‘harimau’ ke-12

KUALA LUMPUR – ‘Jatuh ba­ngun, selamanya Harimau Malaya.’
Begitulah gambaran yang dapat dilihat daripada penyokong yang tidak jemu menzahirkan sokongan padu biarpun aksi skuad negara tidak konsisten sepanjang kempen Piala AFF kali ini.
Ketika Harimau Malaya lembik, penyokong lantang mengkritik, tetapi ia langsung tidak memudarkan sokongan kepada perjuangan anak-anak buah Dollah Salleh.
Malah, penyokong Harimau Malaya semakin ‘matang’ apabila tiada insiden yang tidak diingini berlaku sewaktu perlawanan akhir kedua menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Sebanyak 90,000 tiket dijual se­perti pisang goreng panas, sekali gus mewujudkan gelombang kuning hitam dan menyuntik semangat patriotik ketika lagu Negaraku berkumandang.
Tabik hormat juga buat Ultras Malaya yang tidak berganjak dan terus menyatakan sokongan biarpun selepas skuad Gajah Perang mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan agregat 4-3.
Itulah yang dimahukan oleh Malaysia sebenarnya. Pecinta bola sepak memberi sokongan tanpa berbelah bagi dan tidak menimbulkan sebarang insiden buruk.
Jika diselak semula perjalanan Harimau Malaya jelas tidak konsis­ten. Mereka seri 0-0 dengan Vietnam dalam aksi pembukaan kumpulan B, tewas 2-3 kepada Thailand dan menang 3-1 ke atas Singapura untuk layak ke separuh akhir.
Malaysia juga di ambang pe­nyingkiran selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam separuh akhir pertama di Shah Alam , namun bangkit 4-2 ketika bertandang ke Hanoi.
Skrip sama berulang di final.
Harimau Malaya ditundukkan 2-0 dalam aksi akhir pertama sebelum turun ke laman keramat dengan misi mesti menang.
Bagaimanapun, kemenangan 3-2 Malaysiadi Bukit Jalil tidak mampu menyekat skuad bimbingan Kiatisuk Senamuang untuk menjulang Piala AFF buat kali keempat.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberi insentif kepada Harimau Malaya atas kejayaan muncul naib juara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, perkara itu telah dimaklumkan kepada Pre­siden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam.
“Dalam perbincangan bersama Presiden, kita telah bersetuju untuk memberi insentif kepada pemain kerana layak ke final, walaupun kita kalah dari segi agregat.
“Kita akan membuat pengumuman mengenai pemberian insentif dalam masa terdekat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pengurusan Liga Futsal Kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Sumber : Utusan Malaysia