TEAM ISN IRINGI SKUAD PENCAK SILAT NEGARA KORBANKAN AIDILFITRI DEMI PERSIAPAN SUKAN SEA 2017

28 JUN 2017, DA LAT CITY, VIETNAM: Ketika umat islam masih dalam suasana perayaan aidilfitri, tidak bagi skuad pencak silat negara yang terpaksa berkorban demi negara untuk menjalani latihan intensity tinggi jauh dari tanahair iaitu di Da Lat City, Vietnam sejak 19 Jun 2017 yang lalu.

26 atlet pencak silat termasuk lima atlet program PODIUM dihantar menjalani latihan di Da Lat City Vietnam iaitu Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Razak Ghazali, Mohd Fauzi Khalid dan Siti Humairah Kasidin dimana fokus latihan adalah bagi memantapkan aspek teknikal, taktikal, kecergasan, fizikal dan mental.

Malah sepanjang latihan di Vietnam, skuad pencak silat negara turut mendapat perkhidmatan sokongan sains sukan oleh tiga pegawai TeamISN iaitu pegawai suaian fizikal, Haslinda Samian, pengalisa video, Yuvaraj Ramasamy dan pembantu perubatan, Muhammad Fakhrurrazi Abas.

Menurut pegawai suaian fizikal TeamISN Haslinda Samian, sepanjang berada di Vietnam TeamISN bertanggungjawab memberi perkhidmatan sains sukan seperti suaian fizikal, menganalisa video setiap perlawanan, perkhidmatan biomekanik dan perubatan kepada kesemua atlet pencak silat negara.

“Ketika ini kesemua atlet negara menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang latihan dan tidak terkesan dengan suasana Aidilfitri. Malah pemilihan latihan di Da Lat City bertujuan agar atlet lebih fokus memandangkan Sukan SEA 2017 hanya berbaki 50 hari menjelang esok,” kata Haslinda.

Latihan pusat fasa ketiga ini adalah latihan berintensiti tinggi dimana atlet-atlet menjalani latihan tiga sesi sehari bermula jam 8 pagi sehingga 11.30 malam.

Skuad negara dalam perancangan mengadakan aksi persahabatan menentang rakan sepelatih di kalangan pesilat tempatan di Ho Chi Minh sebelum pulang ke tanahair pada 7 Julai 2017.