#TEAMISN HANGATKAN MAJLIS PENYERAHAN OBOR KL2017 DI NEGERI SEMBILAN

25 MEI 2017, PAROI: Institut Sukan Negara(ISN) meneruskan sokongan terhadap kempen ‘Bangkit Bersama’ apabila turut menyertai Majlis Penyerahan Obor KL2017 bagi Negeri Sembilan yang bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pagi tadi.

Pembawa obor terakhir bagi negeri itu digalas Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi YB En. Ghazali Abd. Wahid sebelum diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Zaifulbahri Idris yang mewakili kerajaan negeri.

Negeri Sembilan merupakan negeri ketiga menyempurnakan Larian Obor KL2017 selepas Johor dan Melaka.

Sepanjang penjelajahan di Negeri Sembilan sejak Isnin lalu, perjalanan Obor KL2017 memulakan larian di Dataran Gemas sebelum melalui daerah Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Port Dickson, Rembau dan berakhir di Seremban pagi ini.

Seramai 310 pelari dari pelbagai latarbelakang terlibat sebagai pemegang obor dengan jarak keseluruhan larian sejauh 60 kilometer.

ISN sebagai agensi sokongan dalam bidang sains dan perubatan sukan turut membuka booth pameran dengan menyediakan pelbagai aktiviti sains sukan antaranya aktiviti bagi mengetahui kaedah asas bersenam yang betul antaranya ‘Russian Twist, Goblet Squad, Sit Up, Push Up, Swiss Ball exercise dan Resistance band exercise’.

Majlis mendapat sambutan hangat dari warga Paroi apabila hampir 1000 orang datang menyaksikan detik bersejarah itu.

Esok Obor KL2107 akan meneruskan perjalanannya dimana ia akan merentasi Lautan China Selatan untuk penjelajahan seterusnya ke Wilayah Persekutuan Labuan.