#TEAMISN KETUAI PENJELAJAHAN BATON SUKAN KOMANWEL 2018, QUEEN’S BATON RELAY DI KUALA LUMPUR

BUKIT JALIL, 17 OKTOBER 2017: Selepas tiba di ibunegara semalam, penjelajahan baton Sukan Komanwel 2018, Queen’s Baton Relay memulakan perjalanan empat hari di Malaysia yang berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil awal pagi tadi.

TeamISN diberi penghormatan memulakan larian yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi bersama 60 kakitangan sejauh 1.2 kilometer mengelilingi Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum diserahkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd Khairi Zawi peluang untuk memulakan penjelajahan baton Sukan Komanwel adalah penghormatan besar daripada Majlis Olimpik Malaysia(MOM).

“Saya ingin berterima kasih kepada MOM kerana ini adalah penghormatan yang besar daripada MOM kepada kewibawaan ISN yang mengendalikan dan menyelaras urusan-urusan Sukan Komanwel,” kata Dr. Khairi.

Dengan hanya 169 hari menjelang temasya tersebut, momentum kejayaan Sukan SEA diteruskan ke Sukan Komanwel dimana jarak diantara kedua-dua temasya bukan satu tempoh yang panjang.

Malah kontinjen negara juga perlu lebih waspada dengan cabaran Sukan Komanwel kali ini yang mempunyai percaturan berbeza berbanding edisi sebelum ini.

“Gold Coast 2018 sudah bertukar permainannya iaitu pingat-pingat daripada atlet para turut menyumbang kepada jumlah pingat keseluruhan. Keadaan ini adalah kali pertama akan dihadapi Malaysia dan sudah pasti satu cabaran baharu buat negara untuk menyusun strategi,” tambah Dr. Khairi.

“Kita boleh mensasarkan jumlah pingat terbaik tetapi daripada segi kedudukan mungkin mencabar dengan kemasukan pingat-pingat sukan para yang diambil kira sebagai keseluruhan jumlah pingat  Ia akan menjadikan ia lebih cabaran tetapi dari segi sasaran Malaysia untuk mengatasi pungutan terbaik sebagaimana Sukan SEA itu masih boleh dicapai tetapi cuma kedudukan 10 teratas menjadi satu persoalan,” katanya lagi.

Turut menyertai larian siang tadi barisan atlet-atlet negara, legenda-legenda sukan negara, kakitangan dibawah agensi-agensi Kementerian Belia dan Sukan, Kedutaan Australia di Malaysia dan Tourism Australia.

Malaysia merupakan destinasi negara ke 54 dalam penjelajahan Queen’s Baton Relay sebelum ke Brunei Darussalam dan Singapura hujung minggu ini.

Baton Sukan Komanwel akan meneruskan penjelajahannya ke ibunegara dimana pada Khamis ini ISN akan menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.