TIKET KL2017 BAGI SUKAN BOLA JARING HABIS DIJUAL PADA HARI PERTAMA PENJUALAN TIKET

Nur ZatilBerita

MAIN 1

4 Julai 2017, BUKIT JALIL: Tidak sampai 24 jam dijual, tiket bagi sukan bola jaring menjadi acara pertama habis terjual iaitu kira-kira pada petang tadi.

Selain itu sukan akuatik terjun dan badminton juga turut mendapat sambutan hangat dimana ia hampir habis terjual setakat jam 10 malam tadi.

Dengan hanya 45 hari menjelang Sukan SEA 2017, tiket-tiket temasya terbesar Asia Tenggara itu mula dijual siang tadi yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.

Bagi peminat-peminat sukan tanahair yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan aksi kontingen negara pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, mereka  masih berpeluang untuk membeli tiket atas talian dengan harga berpatutan serendah RM10 sehingga RM20 melalui laman web rasmi www.kualalumpur2017.com.my

Daripada 38 jenis sukan, hanya 19 sukan tumpuan menggunakan tiket manakala selebihnya boleh disaksikan secara percuma.

Pemilihan sukan tumpuan yang memerlukan tiket ini adalah bertujuan untuk mengawal kehadiran penonton bagi mengutamakan aspek keselamatan.

19 sukan tumpuan yang terlibat antaranya sukan akuatik, badminton, pencak silat, ragbi, berbasikal trek dan bola sepak serta upacara pembukaan dan penutup yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam sidang media siang tadi, Jawatankuasa Penganjur Kuala Lumpur 2017(MASOC) juga menekankan aspek keselamatan penjualan tiket bagi mengelakkan sebarang masalah seperti penjualan ulat tiket.

“Kita hadkan setiap transaksi kepada individu hanya 4 tiket supaya tiada pembelian secara pukal. Kalau di kiosk pun setiap individu turut dihadkan hanya 4 tiket seorang. Pembelian menerusi talian juga memerlukan maklumat peribadi pembeli atas tujuan keselamatan,” kata Khairy.

Selain itu sepanjang temasya berlangsung kawasan di luar venue akan dipantau rapi oleh sukarelawan untuk memastikan tiada penjualan tiket tidak sah di luar venue seperti ulat-ulat tiket.

Tiket-tiket bagi Kuala Lumpur 2017 akan dijual secara berperingkat dimana ia akan turut dijual di kiosk-kiosk tiket di lokasi pertandingan secara tunai, kad debit dan kad kredit.

Hadir sama dalam majlis pelancaran penjualan tiket KL2017 siang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Dato’ Low Beng Choo.