VIVIAN – KHE WEI INTAI KILAUAN EMAS

PINGAT emas temasya Sukan SEA sudah menjadi milik beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei ketika mereka beraksi di Myanmar tahun lalu.

Kejayaan Vivian-Khe Wei itu dianggap satu kejutan kerana mereka menumbangkan beregu Indonesia yang juga pilihan utama, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii pada aksi final.

Kini, Vivian-Khe Wei mempunyai tugas lebih besar apabila bakal membuat penampilan pada temasya Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland yang akan membuka tirai esok.

Sudah pasti mereka memikul tanggungjawab berat bagi mengulangi kejayaan Malaysia meraih emas dalam acara beregu wanita pada temasya Sukan Komanwel 2002 dan 2006.

Sebagai rekod, pasangan Ang Li Peng-Lim Pek Siah memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel 2002 sebelum gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty muncul juara empat tahun kemudian.

Begitupun, laluan Vivian-Khe Wei tidak mudah kerana perlu menghadapi juara bertahan, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dari India dan pemenang pingat perak, Shinta Mulia Sari-Lei Yao (Singapura).

Jurulatih beregu wanita, Rosman Razak berkata, peluang yang dimiliki Vivian-Khe Wei untuk meraih emas agak tinggi tetapi peluang itu turut dikongsi dengan tiga lagi beregu pilihan yang lain.

“Sekarang ada empat beregu wanita yang dilihat mampu meraih pingat emas di Komanwel nanti antaranya pasangan dari India, Singapura, Australia dan Malaysia.

“Jadi keempat-empat beregu ini mempunyai peluang yang sama rata. Memang harapan kami (untuk meraih emas) tetapi ia juga bergantung kepada pemain-pemain,” kata Rosman baru-baru ini.

Ditanya sama ada anak-anak buahnya itu mampu membuat satu lagi kejutan seperti yang dilakukan pada Sukan SEA 2013, Rosman mengakui, ia bukan sesuatu yang mustahil.

“Kadang-kadang sesuatu perkara yang susah kalau fikir dengan mudah saya percaya apa benda pun kita boleh buat.

“Memang saya tidak nafi tekanan itu memang ada tetapi kena hadapi juga. Saya harap mereka boleh melakukannya nanti,” tambah Rosman.

Selain beregu Australia, Tang He Tian-Renuga Veeran, pasangan negara juga perlu berwaspada dengan gandingan England, Gabrielle Adcock-Lauren Smith yang akan tampil selaku pilihan keempat